150 alumni Karangkraf berkampung di Pengkalan Balak
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 150 ahli dan keluarga Kelab Alumni Karangkraf (KAK) berkampung di Pengkalan Balak, Melaka sempena Hari Keluarga KAK.
Pengerusi KAK, Rodli Nayan berkata, Melaka menjadi pilihan sebagai meraikan Tahun Melawat Melaka 2024.
"Tempoh dua hari berkampung di Pengkalan Balak membolehkan ahli kelab melepaskan rindu kepada rakan-rakan yang dahulu pernah bekerja sebumbung di Kumpulan Karangkraf,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar beliau, pengisian program termasuk majlis makan malam, pertandingan karaoke, sukaneka, pemilihan pakaian terbaik dan pertukaran hadiah sesama ahli.
"Sejak diuar-uarkan mengenai majlis ini, ahli ternyata amat teruja untuk mengambil bahagian kerana kali terakhir kami menganjurkan majlis seumpama itu adalah pada 2019.
“Ada yang sanggup datang dari jauh, contohnya dari Kulim, Kedah; Temerloh, Pahang dan Ipoh, Perak," jelasnya.
Majlis dirasmikan oleh Pengurus Kanan Tugas-Tugas Khas Kumpulan Media Karangkraf, Hashim Anang yang mewakili Penasihat KAK, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Pada majlis itu, anak kepada bekas editor buku Kumpulan Karangkraf, Saadiah Mohamad iaitu Aqhiar Esa tampil sebagai juara karaoke menerusi dendangan lagu Sedetik Lebih diikuti tempat kedua, Abdul Hakim Abdul Rahman (Lamunan Terhenti) dan ketiga, Fadzlina Arshad (Januari).
Bagi pemilihan pemenang pakaian terbaik pula, juri memilih Roslan Sajat sebagai ‘Pria Terlajak Kacak’, sementara Norimy Omar mengungguli kategori wanita sebagai Wanita Idaman Malaya.
Pasangan Zulkafli Wahab dan Noraishah Mukhtar pula dinobatkan sebagai Couple Sehati Sejiwa dan keluarga Haslina Kamaludin dipilih sebagai Famili Stailo.
Ujar Rodli, KAK yang ditubuhkan pada 2016 adalah pemangkin terbaik untuk ahli menjalin ukhuwah dan silaturahim menerusi pelbagai program yang dianjurkan oleh kelab itu.
"Pada masa sama, KAK juga turut mengambil berat kebajikan ahlinya dengan menjadi rakan strategik beberapa agensi seperti lembaga zakat, PERKESO dan Tabung Hawana yang diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu warga media terutama mereka yang sudah bersara," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!