Lantikan Trump terima ugutan
WASHINGTON - Beberapa calon lantikan bakal Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk membarisi Kabinet 2.0 beliau menerima ugutan termasuk ancaman bom pada awal minggu lalu.
Pendedahan itu dibuat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) pada Rabu setelah insiden itu melibatkan sembilan individu termasuk mereka yang pernah terpalit kontroversi.
“Kami sedang bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengendalikan kes tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Karoline Leavitt selaku jurucakap pasukan peralihan Trump mengesahkan ugutan itu turut melibatkan ahli keluarga calon.
“Presiden Joe Biden telah dimaklumkan tentang perkara berkenaan.
Pentadbiran beliau mengutuk keras ancaman keganasan politik seperti ini,” ujar Rumah Putih sambil menambah mereka sedang mengawasi perkembangan situasi tersebut.
Proses peralihan kuasa dijangka berjalan lancar setelah Biden akur dengan kemenangan Trump malah berikrar insiden 'serangan ke atas demokrasi' pada 2020 yang dilancarkan penyokong bilionair hartanah itu tidak lagi akan berulang.
Media tempatan melaporkan kesemua sasaran tersebut tidak dilindungi Perkhidmatan Rahsia AS.
Taktik ugutan serupa telah digunakan untuk menyasarkan beberapa tokoh politik berprofil tinggi termasuk hakim dan pendakwa raya yang mengendalikan kes jenayah Trump. - Agensi
Info
>Anggota Kongres, Elise Stefanik yang dilantik sebagai Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa kediamannya di New York menerima ancaman bom.
>Lee Zeldin yang dipilih untuk mengetuai Agensi Perlindungan Alam Sekitar mendedahkan kediamannya juga menjadi sasaran ugutan bom paip berserta mesej pro-Palestin. Beliau dan keluarganya tiada di rumah ketika insiden itu.
>Matt Gaetz yang dihimpit tuduhan salah laku seksual menggemparkan dan pada mulanya dilantik sebagai Peguam Negara menerusi platform X menyatakan turut berdepan ugutan sama tanpa memberikan butiran lanjut.
>Bekas pemain NFL, Scott Turner yang dicalonkan untuk memegang jawatan Setiausaha Perumahan dan Pembangunan Bandar serta Lori Chavez-Deremer, calon Setiausaha Buruh menjadi sasaran ancaman bom di kediamannya.
>John Ratcliffe yang dipilih untuk mengetuai Agensi Risikan Pusat (CIA) dan calon Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth juga jadi sasaran ugutan itu.
>Calon untuk mengetuai Jabatan Pertanian, Brooke Rollins berterima kasih terhadap tindakan segera pihak berkuasa untuk menyiasat ancaman diterima keluarganya.
>Pam Bondi yang dipilih untuk menggantikan Gaetz dan Ketua Turus Rumah Putih, Susie Wiles turut berdepan ugutan serupa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!