Siasatan FashionValet telah lengkap - SPRM
SHAH ALAM - Siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet telah dilengkapkan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan ini telah diserahkan kepada Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, SPRM untuk kajian dan pertimbangan.
"SPRM telah melengkapkan kertas siasatan berhubung pelaburan beberapa entiti kerajaan dalam syarikat pengendali platform e-dagang, FashionValet menerusi Ops Favish yang dijalankan sebelum ini.
"Keputusan berhubung siasatan ini akan diperoleh dalam masa yang terdekat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Pada 6 November, SPRM telah membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar bernilai kira-kira RM1.1 juta.
Pembekuan itu adalah susulan daripada siasatan dijalankan SPRM terhadap suami isteri tersebut berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Menurut sumber, sejak siasatan dijalankan, SPRM menerusi 'Op Favish' telah membekukan kira-kira 11 akaun persendirian dan enam akaun syarikat di bawah seliaan pasangan suami isteri berkenaan bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.
Selain itu beberapa tas beg tangan dan seutas jam tangan mewah bernilai kira-kira RM200,000 turut disita dari premis pasangan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!