Polis rampas dadah bernilai RM1.23 juta
KUALA LUMPUR - Polis merampas dadah bernilai RM1.23 juta selepas menumpaskan dua sindiket dalam serbuan berasingan di sekitar ibu negara pada Isnin dan Selasa lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagi kes pertama, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur berjaya menahan dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Vios di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban kira-kira jam 6.15 petang.
"Pemeriksaan dalam kereta terbabit menemui dadah disyaki syabu seberat 56 gram.
"Soal siasat suspek kemudian membawa pemeriksaan ke atas dua buah kereta jenis Perodua Myvi dan Proton Wira di sebuah kondominium di Cheras. Hasilnya, polis berjaya menjumpai dadah jenis Eramin 5 (14,800 biji) dan syabu (6.68 kilogram) di dalam but Proton Wira," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Bagi kes kedua, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul turut berjaya menumpaskan satu sindiket dengan tertangkapnya dua lelaki pada hari yang sama.
Menurutnya, suspek pertama ditahan kira-kira jam 9.40 malam, Isnin lalu di sebuah rumah Jalan Kepong dengan rampasan dadah eramin 5 sebanyak 1,000 biji serta ketamin (19.20 gram).
"Susulan itu, hasil soal siasat suspek berjaya membawa tangkapan seorang lagi rakannya kira-kira jam 8 malam di Jalan Kepong pada keesokan harinya.
"Dengan tertangkapnya suspek ini, polis merampas eramin 5 (1,330 biji), pil ekstasi (289 biji), serbuk ekstasi (6.98 kg) dan 101 batang rokok ganja," katanya.
Mazlan berkata, dianggarkan kesemua nilai rampasan dadah adalah bernilai RM1.23 juta selain sitaan harta mencecah RM97,500.
Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek didapati positif dadah dan polis percaya mereka telah aktif sejak tiga hingga empat bulan lalu.
"Kesemua suspek yang ditahan kini ditahan reman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!