MBSA hargai rakan strategik, pengamal media Selangor
SHAH ALAM - 70 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan serta pengamal media di Selangor menerima penghargaan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam satu majlis di sini pada Khamis.
Majlis Menghargai Jasa dan Sumbangan Rakan-Rakan Strategik MBSA itu turut menghargai syarikat korporat dan swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi di negeri ini.
MBSA dalam kenyataan berkata, penghargaan itu diberikan berikutan usaha berterusan membantu merealisasikan visi MBSA menjadikan Shah Alam bandar raya berkualiti, sejahtera, kondusif dan terunggul.
"Dalam menjayakan visi ini peranan rakan-rakan strategik amat penting untuk meningkatkan tadbir urus MBSA sebagai organisasi yang efisien, efektif, kompeten, dinamis dan terus cemerlang.
"Jalinan kerjasama ini diterjemahkan melalui penglibatan rakan strategik melalui sumbangan idea, cadangan, perolehan data dan input serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman.
"Selain itu, kerjasama turut diadakan dalam sesi bengkel, dialog, townhall, sesi libat urus, perbincangan kumpulan sasar, lawatan turun padang dan sebagainya," ujar pihak berkuasa tempatan itu pada Khamis.
Terdahulu, majlis penyampaian penghargaan kepada rakan strategik MBSA diadakan di sebuah hotel itu disempurnakan Pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Madiyan Baweh.
MBSA mengulas lanjut berkata, melalui kerjasama ini aktiviti dan program juga dapat berjalan dengan baik seperti dirancangkan, di samping dapat membantu pihak MBSA menyediakan pelan-pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang untuk kecemerlangan bandar raya Shah Alam.
Selain itu, ujarnya, kerjasama diberikan pihak pengamal media dalam melaporkan dan menyiarkan artikel dan laporan berkaitan aktiviti dan program serta dasar-dasar MBSA banyak membantu menyebar luaskan lagi maklumat secara benar dan sahih.
"Ini seterusnya juga dapat mendidik dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan telus dan saksama sekali gus mengelakkan kekeliruan dan kegusaran kepada orang ramai," tambah kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!