Rusia lancar serangan berskala besar sasar grid kuasa Ukraine

Orang ramai berlindung di stesen metro ketika serangan berskala besar dilancarkan Rusia. Foto Agensi
Orang ramai berlindung di stesen metro ketika serangan berskala besar dilancarkan Rusia. Foto Agensi
A
A
A

KIEV - Tentera Rusia pada Khamis melancarkan serangan berskala besar ke atas sektor tenaga Ukraine yang turut menyebabkan lebih sejuta terputus bekalan elektrik di seluruh negara ketika suhu menjunam ke paras beku di bawah sifar darjah Celsius.

Menteri Tenaga, German Galushchenko berkata, infrastruktur kuasa kembali menjadi sasaran musuh setelah amaran serangan misil dikeluarkan.

"Moscow melancarkan hampir 200 misil cruise dan dron ke atas grid kuasa di beberapa bandar utama termasuk ibu kota Kiev, Kharkiv dan bandar Odesa di Laut Hitam," ujarnya.

Susulan insiden serangan itu, pengendali grid kuasa, Ukrenergo terpaksa mengumumkan gangguan bekalan elektrik kecemasan di wilayah yang terjejas di Kiev, Odesa, Dnipro dan Donetsk.

Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam satu kenyataan mengecam gelombang serangan tersebut yang telah menjadi taktik lapuk Moscow sejak peperangan tercetus pada Februari 2022.

"Rusia menggunakan bom kluster dan turut menyasarkan penempatan orang awam," ujar Zelenskyy.

Kiev bagaimanapun memaklumkan ia berjaya menembak jatuh 79 misil dan 35 dron milik musuh tersebut.

Sementara itu, pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rosemary DiCarlo memberi amaran tegas bahawa serangan ke atas infrastruktur tenaga Ukraine berisiko memburukkan lagi situasi pada musim sejuk pada kali ini.

Artikel Berkaitan:

Konflik antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu semakin meruncing setelah Ukraine menggunakan peluru berpandu jarak jauh milik Barat sebanyak tiga kali ke atas Moscow hingga mengundang tindak balas agresif Rusia. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!