Banjir: Ahmad Zahid akan turun Kelantan
SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan turun ke Kelantan bagi menyertai misi bantuan mangsa banjir.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, Ahmad Zahid mengesahkan perkara itu dalam perbualannya bersama beliau.
“Sewaktu misi bantuan saya menerima panggilan telefon daripadanya yang bertanya khabar mengenai situasi semasa banjir. Perbualan kami terhad kerana talian perkhidmatan yang kurang jelas di sekitar sempadan (Malaysia-Thailand).
“Insya-ALLAH, beliau sedia turun ke Kelantan nanti untuk misi bantuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Mohd Nassuruddin turut mengucapkan terima kasih di atas kecaknaan semua pihak terhadap perkara yang menimpa negeri tersebut.
Sebelum ini, banjir di negeri tersebut semakin buruk apabila merebak kepada 10 jajahan dengan jumlah mangsa seramai 39,728 pada Khamis, namun situasi itu tidak memerlukan pengisytiharan darurat.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Ab Pattah Hasbullah berkata, sehingga kini keadaan masih terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!