Mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis meningkat

Mangsa banjir di beberapa daerah di Kedah dinasihatkan supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat berikutan paras air yang dijangka bertambah teruk menjelang malam ini dan esok. Gambar hiasan Bernama
Mangsa banjir di beberapa daerah di Kedah dinasihatkan supaya berpindah ke tempat yang lebih selamat berikutan paras air yang dijangka bertambah teruk menjelang malam ini dan esok. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua negeri di Pantai Timur, Terengganu dan Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak mangsa banjir pada petang ini, berbanding yang direkodkan pada pagi tadi.

Selain itu, jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis turut mencatatkan pertambahan, manakala situasi di Perak dan Johor pula tidak berubah.

Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 42,868 orang dengan 190 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 29,023 orang di 151 PPS, pagi tadi.

Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 15,148 orang di 45 PPS diikuti Tumpat (6,175 orang, 14 PPS), Pasir Puteh (4,035 orang, 21 PPS), Kuala Krai (4,014 orang, 30 PPS), Kota Bharu (3,983 orang, 24 PPS) dan Tanah Merah (3,685 orang, 25 PPS).

Banjir turut melanda Machang melibatkan 2,915 orang di 18 PPS, Bachok (2,157 orang, tujuh PPS), Jeli (724 orang, lima PPS) dan Gua Musang yang menempatkan 32 orang di sebuah PPS.

Di TERENGGANU, mangsa banjir setakat 4 petang direkodkan seramai 14,111 orang, meningkat daripada 8,215 orang pada pagi tadi, dengan Besut masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 5,076 orang di 69 PPS.

Ini diikuti daerah Setiu (3,514 orang, 41 PPS), Hulu Terengganu (3,351 orang, 46 PPS), Kemaman (1,407 orang, 18 PPS), Dungun (446 orang, lapan PPS), Marang (296 orang, tujuh PPS) dan Kuala Nerus (21 orang, sebuah PPS).

Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu memaklumkan 42 jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat banjir pada petang ini, selain paras air sungai di 17 stesen telah melepasi paras bahaya antaranya Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu; Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Besut di Kampung La, Besut; Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata mangsa banjir setakat petang ini ialah 1,849 orang daripada 595 keluarga berbanding 569 orang daripada 197 keluarga pagi tadi.

Sebanyak 17 PPS beroperasi di negeri itu iaitu sembilan di Kubang Pasu yang menempatkan 1,010 orang, Padang Terap (749 orang, lima PPS); Sik (54 orang, dua PPS) dan Pokok Sena (36 orang, sebuah PPS).

APM PERLIS pula memaklumkan jumlah mangsa banjir mencatatkan pertambahan petang ini dengan 383 orang berbanding 243 pagi tadi, yang ditempatkan di empat PPS iaitu 128 orang di PPS SK Arau, PPS SK Guar Nangka Arau (73 orang), PPS SK Titi Tinggi Padang Besar (131 orang) dan PPS Dewan Warisan, Kangar (51 orang).

Sementara itu, situasi banjir di PERAK dan JOHOR tidak berubah dengan 20 orang masih berada di PPS SK Haji Parit Aman, Kerian, Perak manakala 28 orang ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak, di Segamat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!