'Kemenangan pertama untuk rakyat' - Tze Tzin
SHAH ALAM - Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) meminta penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) menyemak strategi penentuan semula harga untuk memastikan pelaksanaan yang lebih wajar akhirnya memberikan kelegaan.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, ia merupakan kemenangan pertama buat rakyat yang sering menyuarakan tentang kenaikan melampau kadar premium insurans kesihatan.
“Selepas rakyat bersuara, hari ini BNM keluar kenyataan.
“Ini kemenangan pertama rakyat, tapi ia belum berakhir. Ayuh kita teruskan,“ katanya menerusi hantaran di X pada Khamis.
Tze Tzin yang lantang bersuara tentang isu terbabit meminta bank pusat itu menyiasat dan mengkaji semula syarikat insurans mengeluarkan notis kenaikan caj premium antara 40 hingga 70 peratus.
Jelasnya, BNM tidak patut ‘lepas tangan’ hanya kerana ia keputusan perniagaan dibuat syarikat insurans kesihatan.
Menurut beliau lagi, umum mengetahui kenaikan kadar premium insurans kesihatan amat berkait rapat dengan caj hospital swasta yang melambung tinggi sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!