Bersatu umum tiga jawatan MPT, Azmin Ali dilantik Setiausaha Agung

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya mengumumkan pelantikan jawatan kanan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) secara rasmi bagi sesi 2024 hingga 2027.

Beliau berkata, pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu.

"Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Bendahari Agung, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

"Pelantikan akan berkuatkuasa hari ini.

"Saya berdoa agar mereka menjalankan tugas yang termaktub dalam Perlembagaan Bersatu dengan amanah, cekap dan berintegriti," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang dilaporkan sempat menolak tawaran bagi jawatan tersebut berikutan mahu fokus kepada Perikatan Nasional (PN) Selangor diketuainya dalam misi menawan negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Rentetan itu, bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam program Interviu bersama Sinar Harian baru-baru ini menjelaskan, tawaran dibuat setelah meneliti semua aspek termasuk sama ada Mohamed Azmin layak untuk memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pimpinan sebelumnya yang banyak menabur jasa sepanjang berkhidmat dalam parti.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Bendahari Agung, Datuk Mohamed Salleh Bajuri dan Ketua Penerangan, Datuk Razali Idris di atas segala jasa serta khidmat," ujarnya ringkas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!