Paras air naik, MADA ambil tindakan awal

Kedudukan semasa paras Empangan Pedu adalah sebanyak 65.43 peratus.
Kedudukan semasa paras Empangan Pedu adalah sebanyak 65.43 peratus.
A
A
A

ALOR SETAR - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil beberapa tindakan awal berikutan hujan berterusan di kawasan Muda bermula sejak Selasa lepas.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat MADA pada Khamis, pemantauan paras air dan aliran sungai telah bermula sebaik sahaja turunan hujan berterusan dan peningkatan paras air sungai utama dikesan.

Menurutnya, rekod bacaan tertinggi dicatatkan di Stesen No. 64, Tunnel Intake sebanyak 155 milimeter (mm) pada 26 November lepas di kawasan tadahan empangan.

"Hujan di tadahan sungai iaitu di Sungai Padang Sanai pula merekodkan bacaan tertinggi sebanyak 128 mm pada hari sama, manakala hujan di dataran merekodkan bacaan tertinggi di Stesen No. 9 Kurong Anai sebanyak 87 mm.

"Keadaan hujan berterusan ini menyebabkan aliran sungai di Kuala Nerang mula meningkat ke paras berjaga-jaga iaitu pada 16.21 meter pada jam 11 pagi,Rabu dan mencecah ke paras bahaya 17.44 meter pada jam 3 petang hari sama,"katanya.

Tambah kenyataan itu, paras air Kuala Nerang menunjukkan tren meningkat iaitu 19.65 meter pada jam 8 pagi,Khamis.

Menurutnya, paras air bagi Sungai Bata, Sungai Pendang dan Sungai Arau merekodkan paras bahaya pada hari sama dengan masing-masing menunjukkan tren meningkat iaitu 9.56 meter, 4.95 meter dan 7.46 meter.

Bagaimanapun, jelas kenyataan terbabit, MADA telah mengambil tindakan awal untuk menyalurkan air lebihan ini melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada sejak 26 November 2024.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan ini dilaksanakan melalui sistem Lana Bulu, Sistem Alor Changileh, Terusan Tengah dan Selatan. Operasi saliran melalui struktur ‘Pelubang Barrage’ di Kampung Kepala Batu bermula Rabu bagi mempercepatkan aliran daripada Sungai Padang Terap.

"Kesemua lapan pintu Tandop Pasang Surut Sungai Kedah, Ampang Jajar dibuka dan hanya ditutup apabila berlaku kenaikan aras laut,"katanya.

MADA menambah, kedudukan semasa paras Empangan Pedu adalah sebanyak 65.43 peratus, Empangan Muda bersamaan 126.80 peratus dan Empangan Ahning berada pada paras 98.16 peratus.

Sehubungan itu, ujar kenyataan tersebut, MADA juga telah mengambil tindakan menutup pelepasan air dari empangan berikutan turunan hujan menyeluruh yang berlaku di kawasan dataran MADA pada Selasa.

Kongsinya, MADA turut mengoperasikan bilik gerakan banjir di peringkat Ibu Pejabat dan Pejabat Wilayah bermula Rabu untuk memantau paras sungai utama di kawasan Muda,selain terus memantau takungan empangan, turunan hujan, dan paras air melalui sistem maklumat pengurusan air.

MADA memaklumkan, pihaknya juga berhubung dengan pihak berkuasa negeri dan daerah bagi mendapatkan maklumat terkini tentang situasi banjir.

Dalam perkembangan sama, katanya, status kemajuan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda telah mencatatkan aktiviti tanam sebanyak 83.3 peratus dengan keluasan sebanyak 83,873 hektar bagi musim 2/2024 sehingga 27 November 2024.

"Anggaran purata umur padi adalah 30 hari lepas tabur (HLT),maka MADA akan mengenal pasti kerosakan tanaman padi di peringkat kawasan melalui bancian yang akan dijalankan selepas air surut,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!