Demi maruah Malaysia

Roslin
Roslin
A
A
A

PARA pemain badminton yang mewakili negara di pentas antarabangsa perlu memperagakan semangat juang tinggi demi maruah serta nama baik Malaysia.

Bukan menafikan pengorbanan, masa dan tenaga pemain negara, namun ada kala tercetus persepsi dalam kalangan peminat sukan bahawa mereka seakan dilihat 'main-main' ketika di gelanggang.

Bekas jaguh perseorangan negara, Roslin Hashim berkata, situasi tersebut perlu dinilai secara adil dan berfakta bagi mengelak sebarang sangkaan kurang menyenangkan dalam kalangan pemain serta peminat.

Menurutnya, peminat mahukan yang terbaik, namun pada masa sama pemain mempunyai perancangan dan strategi mereka sendiri apabila menyertai kejohanan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi memburu gelaran Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China bulan depan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perubahan era moden dunia badminton menjadikan saingan begitu kompetitif dan sangat sengit berbanding zaman terdahulu.

“Kita tidak tahu apa isi hati pemain. Gagal beraksi dengan baik, kalah pada pusingan awal, biarpun sebelum itu jadi juara (kejohanan lain).

“Secara logiknya peminat lihat, selepas muncul juara dan bertanding pada kejohanan seterusnya sekurang-kurangnya mara ke suku akhir, tetapi peringkat awal sudah kalah.

“Apa yang terjadi. Peminat bukan tidak boleh menerima kekalahan, tetapi biarlah kalah itu selepas pemain bersungguh-sungguh dan main betul-betul di gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Roslin tidak menolak faktor kecederaan, kepenatan dan taktikal permainan menjadi punca kekalahan pemain di peringkat awal saingan, namun perkara itu boleh diatur dengan baik.

“Risiko kecederaan memang ada, bukan ketika bertanding sahaja, malah semasa latihan pun boleh cedera.

"Andai tidak mampu bermain kerana cedera, tarik diri. Kita bawa nama negara, bukan wakil kelab. Apapun pengorbanan pemain, perlu dihargai. Teruskan kerja keras anda demi Malaysia. Peminat sentiasa di belakang menyokong anda,” katanya.

Enam wakil negara sudah mengesahkan slot ke WTF termasuk pasangan yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Toh Ee Wei-Chen Tan Jie.

Tiga lagi wakil profesional ialah pemain perseorangan, Lee Zii Jia, dua beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei serta pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Lai.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!