Waspada bahaya ketika musim banjir, utamakan keselamatan

Orang ramai diminta waspada pergerakan masing-masing ketika banjir. Gambar hiasan.
Orang ramai diminta waspada pergerakan masing-masing ketika banjir. Gambar hiasan.
A
A
A

BANJIR melanda beberapa negeri setiap tahun sememangnya tidak dapat dielakkan, bahkan ada dalam kalangan penduduk yang sudah terbiasa dengan bencana alam tersebut.

Teringat ketika banjir besar yang melanda Pantai Timur, lebih-lebih lagi Pahang pada penghujung 2014, sekitar dua atau tiga minggu penduduk kampung mengalami kekurangan air bersih.

Mereka terpaksa meranduk banjir dan menaiki bot untuk ke seberang, bahkan bekalan elektrik serta talian telekomunikasi terputus.

Peristiwa yang menjadi igauan itu dikatakan bakal berlaku lagi, kali ini melibatkan enam negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Perak dan Johor.

Bukan itu sahaja, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan unjuran sistem amaran awal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), banjir yang melanda Kelantan dan Terengganu ketika ini dijangka lebih buruk berbanding bencana 2014.

Menurutnya, air pasang besar yang dijangka berlaku di Pantai Timur minggu depan turut memburukkan situasi banjir menyebabkan air sungai tidak dapat keluar ke laut.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, keutamaan buat masa sekarang ialah Terengganu dan Kelantan memandangkan kedua-duanya mencatatkan paras banjir yang amat membimbangkan.

Mana tidaknya, paras air di Sungai Golok sahaja mencecah 11.42 meter (m) dan melepasi catatan bah kuning pada 2014 lampau.

Artikel Berkaitan:

Setakat jam 7 petang Khamis, keadaan banjir di Kelantan makin buruk apabila 50,068 penduduk dipindahkan ke 206 pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Terengganu pula, sebanyak enam daerah dilanda banjir iaitu Kemaman, Dungun, Besut, Setiu, Marang dan Hulu Terengganu setakat jam 8 pagi semalam.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, agensi dan aset negara dalam kesiapsiagaan tertinggi bagi menghadapi banjir dengan penglibatan 82,794 pegawai serta anggota daripada lima agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Katanya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi peneraju kumpulan kerja kebajikan juga telah bersedia mengaktifkan 8,481 pusat penempatan sementara (PPS) di seluruh negara yang mampu menampung 2,158,748 mangsa.

Apa pun, diharapkan supaya orang ramai sentiasa berwaspada dengan pergerakan masing-masing sepanjang musim tengkujuh, tidak melakukan sebarang aktiviti luar dan mendengar arahan keselamatan daripada pasukan petugas.

Kita tidak mahu ada lagi mangsa terkorban gara-gara sikap segelintirnya gemar bermain air dan memandang ringan tentang bahaya banjir yang kebanyakannya berarus deras.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!