Tamatnya Perang Lubnan-Israel
BEIRUT - Puluhan ribu penduduk Lubnan yang melarikan diri daripada pertempuran ganas kembali semula ke bandar dan perkampungan masing-masing setelah gencatan senjata berkuat kuasa pada Rabu.
Di bawah perjanjian damai yang dipersetujui bagi menghentikan peperangan tersebut, pasukan tentera turut dikerahkan ke selatan yang dikawal pejuang Hizbullah sejak sekian lama.
Ahli Parlimen Hizbullah, Hassan Fadlallah berkata, gerakan tersebut bekerjasama dengan langkah penempatan pasukan tentera ke dua kawasan.
“Unit askar telah ditempatkan di sektor Litani Selatan dan memperluaskan kuasa mereka dengan penyelarasan bersama Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL),” ujarnya dalam satu kenyataan merujuk kepada bahagian selatan Sungai Litani yang bersempadan Tel Aviv.
Laluan utama dari Beirut menuju ke selatan turut sesak dengan penduduk yang mengambil peluang untuk pulang ke kediaman mereka meskipun sebahagian besar daripadanya sudah musnah.
Konvoi kereta dan bas mini memeriahkan jalan sambil membunyikan hon untuk meraikan tempoh bertenang tersebut.
“Kami tidak dapat menggambarkan perasaan ini. Kita telah menang!” kata salah seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan.
Terdapat juga yang menyuarakan rasa sedih kerana menyaksikan kebinasaan akibat kempen pengeboman rejim Zionis.
“Adakah ini benar-benar Nabatiyeh? Segala kenangan di bandar ini telah hilang malah kami sendiri sudah tidak kenal tempat ini yang sudah berubah sama sekali,” kata Ali Mazraani dalam nada sebak.
Sejak beberapa minggu lalu, lebih 900,000 penduduk terpaksa meninggalkan rumah masing-masing setelah Israel melancarkan perang ganas untuk menghapuskan Hizbullah.
Speaker Palimen, Nabih Berri yang terlibat proses rundingan damai itu dan mewakili Hizbullah turut menggesa penduduk supaya kembali semula ke kampung halaman mereka berikutan situasi keselamatan kini akan dipantau pasukan tentera.
Sementara itu, Perdana Menteri, Najib Mikati berharap Israel akan menghormati perjanjian gencatan senjata tersebut.
“Lubnan sedang membuka lembaran baharu selepas melalui fasa paling menyakitkan dalam sejarah moden negara ini,” ujarnya.
Di bawah perjanjian damai itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan berundur secara berperingkat dalam tempoh 60 hari dan kedudukan itu bakal diambil alih pasukan keselamatan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!