Kisah sedih dari Tenom dan tanggungjawab pemimpin
MOMEN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang sebak ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat pada Selasa lalu menjentik jiwa Merak Jalanan.
Sepertinya sudah memahami betapa jawatan seorang menteri yang bertanggungjawab menjaga kesihatan rakyat negara ini, Merak Jalanan mengerti apa dirasakan Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Masakan tidak, kisah sedih dari Tenom, Sabah yang mengakibatkan kehilangan jiwa itu, bukan saja meruntun hati, tetapi lebih daripada itu. Ia menjadi salah satu daripada aspek semak dan imbang kepada sesiapa saja, termasuk mereka yang memegang tampuk kuasa.
Sebenarnya, jika kita faham makna tanggungjawab, sesiapa juga akan mudah terjentik hatinya seperti apa yang berlaku kepada Dr Dzulkefly. Itu hanya satu kisah sedih, entah berapa banyak lagi agaknya cerita yang tidak diketahui dan tidak dikongsi.
Jawatan bukan hanya datang dengan populariti dan kesenangan semata-mata, tetapi dalam ruang lingkup terbesar, ia membawa bersama amanah dan harapan rakyat yang menggunung terhadap pemimpin, kerajaan atau pihak berwajib.
Ini mengingatkan kita situasi sama yang berlaku kepada seorang lagi pemimpin iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menangis mendengar perkongsian petani tidak lama dulu.
Salahuddin juga dalam antara kata-kata terakhirnya sebelum meninggal dunia, sempat berkongsi betapa apa juga jawatan yang dipegang, hanyalah sementara, tidak kiralah menteri, ketua polis negara atau sesiapa saja.
Apa yang Merak Jalanan nak kongsikan adalah setiap daripada kita akan dipersoalkan atas setiap yang kita buat di dunia ini. Lagi besar jawatan, lagi banyak tanggungjawab yang perlu kita pikul.
Demikianlah halnya dengan kerja. Tidak kira apa pangkat kita, buatlah kerja dengan bersungguh-sungguh tanpa lalai dan culas kerana semua itu akan ditanya nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!