Usahawan lelong 6,000kg ikan bekok
KOTA BHARU - Seorang usahawan ikan bekok terpaksa melelong 6,000 kilogram (kg) hasil ikan itu selepas kilang dan kedai ikannya di Kampung Kelubi, Pasir Puteh dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.
Nor Fadilah Mohd Nor, 36, berkata, stok ikan gelama bekok yang baharu dihasilkan itu sepatutnya dibawa ke Dungun, Terengganu sempena satu festival makanan pada Rabu (semalam).
Nor Fadilah atau lebih mesra dengan panggilan Dyla yang ketika itu berada di Ipoh, Perak memberitahu, musibah itu turut mengakibatkan beliau mengalami kerugian sebanyak RM110,000 termasuk persiapan ke festival berkenaan.
"Saya terkejut menerima panggilan telefon daripada abang, Mohd Khalifah Hussin, 46, memaklumkan situasi itu kerana kawasan kedai kami agak tinggi malah tidak dinaiki air ketika banjir dua tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian.
Usahawan itu juga memberitahu, terpaksa menjual pada harga RM100 untuk lima pek ikan gelama bekok berbanding RM25 hari biasa untuk setengah kilogram.
Jelasnya lagi setiap pek mengandungi tiga ekor ikan bekok yang diproses daripada ikan gelama segar gred A.
"Saya juga terpaksa menarik diri daripada menyertai jualan di festival makanan itu kerana bimbang keselamatan susulan keadaan banjir yang semakin buruk," katanya.
Berkongsi sebelum kejadian berkenaan, ibu kepada seorang anak berusia lapan tahun itu memberitahu, beliau sepatutnya pulang memeriksa stok ikan bekok itu sebelum bertolak ke Terengganu.
"Bagaimanapun abang yang menguruskan kilang serta kedai memaklumkan kilang dinaiki air kira-kira jam 2.45 pagi selepas hujan lebat dalam tempoh 10 minit.
"Saya juga tidak dapat pulang kerana banyak kawasan sudah ditenggelami banjir," katanya.
Dyla juga reda menerima ujian ALLAH SWT dan terus membuat keputusan melakukan promosi melalui media sosial sahaja kerana perlu menghabiskan semua stok sebelum banjir lebih meruncing.
Tambahnya, proses mengepos semua tempahan pelanggan akan bermula Ahad ini dan beliau sudah menghubungi syarikat kurier bagi memastikan semua ikan yang ditempah selamat diterima.
"Ramai yang memberi sokongan dan mahu membantu termasuk dari luar Kelantan dan sehingga kini lebih 1,000 pek sudah ditempah," katanya.
Dyla turut memberitahu tidak membuka restoran tetapi menjual ikan gelama bekok pada program tertentu bersama nasi pada harga RM18 untuk satu set.
"Harganya berbaloi kerana menggunakan beras basmathi ditambah sayur, telur dan air mineral," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!