Tekanan ekonomi faktor kes dera, penganiayaan kanak-kanak meningkat
SEREMBAN - Sebanyak 509 kes penderaan dan penganiayaan kanak-kanak dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan dari tempoh Januari sehingga bulan lalu.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, jumlah itu meningkat 106 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 403 kes.
Menurutnya, tekanan ekonomi dilihat menjadi antara faktor utama yang mendorong perkara itu berlaku.
"Saya berpendapat faktor kes ini berlaku disebabkan masalah tekanan ekonomi.
"Kemiskinan keluarga menyebabkan ibu bapa tidak dapat menjaga anak-anak dengan baik dan terpaksa keluar bekerja sehingga menyebabkan anak-anak terabai," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sembilan di sini pada Khamis.
Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan dan Pegawai Kanan Kerajaan Negeri Sembilan(Bakriyah) Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
Hadir sama, Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Gemencheh, Suhaimizan Bizar.
Tambahnya, faktor lain seperti kepincangan dalam keluarga apabila ibu bapa yang mengambil dadah, terlibat aktiviti pelacuran, dipenjarakan atau mengalami masalah mental.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan mereka mudah hilang pertimbangan sehingga sanggup mencederakan anak-anak.
"Kebanyakan mangsa berusia antara empat hingga 15 tahun dan anak-anak yang memasuki usia remaja pula biasanya menjadi mangsa penderaan seksual.
"Pelaku itu biasanya yang dekat dengan mangsa bukan saja ibu bapa tetapi juga ahli keluarga lain seperti bapa saudara atau datuk," katanya.
Justeru ujarnya, pelbagai usaha dilakukan JKM bagi menangani masalah tersebut, termasuk menyediakan khidmat sokongan dan program advokasi berkaitan dengan pencegahan yang diadakan di sekolah-sekolah.
Rosnah berkata, program advokasi itu diadakan bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkaitan sekiranya mereka menjadi mangsa.
"Bermula Mei hingga bulan lalu kita telah adakan 30 siri advokasi perlindungan kasih kanak-kanak di 30 buah sekolah di seluruh Negeri Sembilan.
"Kita juga beri kesedaran kepada ahli masyarakat lain seperti guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru supaya mereka juga tahu bagaimana untuk menyampaikan aduan-aduan yang dikemukakan oleh mangsa.
Ini kerana katanya, kebiasaannya kes berkenaan berlaku di kawasan kejiranan dan semestinya peranan komuniti amat diperlukan untuk segera membuat laporan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!