Pengusaha katering tawar kemudahan dapur berpusat bantu mangsa banjir
KOTA BHARU - Seorang ahli perniagaan katering di Bachok menawarkan dapur berpusat miliknya di Bandar Jelawat, Bachok kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk digunakan sebagai pusat menyediakan makanan kepada mangsa banjir.
Mohd Afiq Muhamad, 38, berkata, keputusan itu dibuat pada Khamis (semalam) selepas melihat 'posting' dalam beberapa kumpulan komuniti di media sosial yang memaklumkan mangsa banjir terutama di pusat pemindahan sementara (PPS) mengalami masalah makanan yang tidak mencukupi.
Beliau memberitahu, dapur besar miliknya itu boleh digunakan untuk memasak makanan kepada 3,000 orang pada satu-satu masa dan dilengkapi pelbagai kemudahan memasak.
"Saya tidak pasti keadaan sebenar di PPS tetapi tiada masalah untuk menawarkan dapur saya itu cuma mereka perlu menyediakan bahan mentah dan pembantu.
"Saya juga tiada masalah jika tempat memasak yang boleh memuatkan 12 pekerja itu dibuka 24 jam sehari malah sedia menanggung kos air dan elektrik," katanya kepada Sinar Harian.
Bagi memastikan keadaan berjalan lancar, Mohd Afiq turut membuat keputusan tidak menerima tempahan sehingga Januari tahun depan.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak berusia tiga bulan hingga sembilan tahun itu menganggap keputusan itu tidak merugikan malah boleh membantu mangsa banjir.
"Tiada istilah rugi kerana saya anggap bantuan kecil ini menjadi saham akhirat untuk kami yang membantu golongan memerlukan.
"Hampir 10 tahun saya membuka 'central kitchen' ini yang menjadi rezeki dan sumber kewangan keluarga, jadi saya rasa mungkin sudah sampai masanya tempat ini dimanfaatkan untuk masyarakat," katanya.
Jelas beliau, setakat ini ada beberapa NGO yang sudah menghubunginya dan berminat untuk bekerjasama namun belum menentukan tarikh sesuai untuk memulakan misi bantuan.
Pemilik restoran di Jelawat dan Kota Bharu itu juga berharap mangsa banjir tabah menghadapi ujian ALLAH SWT walaupun sedang dilanda musibah kerana masin ramai yang sedia membantu.
Beliau turut bersyukur kerana ada NGO yang berusaha meringankan beban mangsa banjir yang setiap tahun melanda negara.
"Kita berharap ada lebih ramai NGO yang saling bekerjasama kerana saya juga tidak mampu bergerak sendiri walaupun ada hasrat membantu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!