Meru dilanda banjir
KLANG - [DIKEMAS KINI] Beberapa laluan dan kediaman penduduk sekitar Meru di sini dilanda banjir selepas hujan tanpa henti sejak lewat petang Khamis.
Antara kawasan terjejas seperti Jalan Hamzah Alang, Jalan Kasim termasuk beberapa jalan di Kampung Bukit Kapar antaranya Jalan Kempas, Jalan Hampa, Jalan Bukit Bahagian dan Jalan Kopi.
Seorang pemilik kedai makan yang menggunakan akaun Facebook, Warung Sukun memaklumkan, operasi harian kedai makannya terpaksa ditutup akibat dinaiki air.
"Kepada warga Meru, Bukit Kapar dan kawasan berhampiran, Warung Sukun tidak beroperasi disebabkan dilanda banjir.
"Warung akan beroperasi semula selepas banjir surut dan siap mengemas," katanya menerusi makluman di Facebook.
Beberapa gambar tular di media sosial mengenai situasi banjir di Meru dan penduduk menyifatkan kejadian itu berpunca akibat sistem saliran tidak teratur.
Pemilik akaun Facebook, Putra Ismail memberitahu, kejadian banjir kerap melanda kawasan Meru.
"Banjir ini disebabkan masalah longkang tidak teratur (diselenggara) dengan baik walaupun beberapa kali dinaiki air," ujarnya.
Dalam pada itu, EXCO Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Najwan Halimi berkata, sebanyak dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 8 pagi Jumaat.
Menurunya, Smart Selangor Operation Centre (SSOC) memaklumkan, seramai 159 mangsa daripada 39 keluarga dipindahkan di dua pusat terbabit.
"Seramai 138 mangsa daripada 34 keluarga telah dipindahkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai Jaya, manakala seramai 21 keluarga membabitkan lima keluarga pula di Balai MPKK Bukit Kapar," kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, SSOC akan terus memantau dan membuat tindakan susulan kejadian banjir di lokasi terlibat.
"SSOC juga akan menyampaikan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan orang ramai boleh menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di talian 03-56500502/0506 untuk maklumat lanjut," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, PPS Balai MPKK Bukit Kapar yang dibuka pada jam 8 malam tadi, menempatkan 21 mangsa.
"PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai yang mula beroperasi pada 12.15 tengah malam tadi pula menempatkan seramai 96 individu.
"Kedua-dua PPS tersebut menempat mereka yang terjejas di sekitar kawasan Kapar dan Meru," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, sebanyak empat balai bomba dan penyelamat (BBP) iaitu Kapar, Bukit Jelutong, Dengkil dan Subang Jaya ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pemantauan serta operasi banjir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!