Banjir: 5 sekeluarga cemas MPV hanyut di Bukit Rokan
SEREMBAN - Lima sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras di Jalan Bukit Rokan, Gemencheh, dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata, kesemua mereka yang berumur empat hingga 40-an itu yang dalam perjalanan dari Jelai ke Bukit Rokan diselamatkan selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 12 tengah malam.
"Orang awam yang melalui kawasan tersebut nampak si ayah menolak kereta dan cuba membantu tetapi gagal kerana air terlalu deras dan dalam. Kita selamatkan empat ahli keluarga termasuk tiga anak pasangan berkenaan di atas kereta itu kira-kira jam 3 pagi.
"Si ayah sudah hanyut ke tengah ketika itu dan pasukan berjaya menyelamatkan mangsa hampir dua jam kemudian. Kesemua mangsa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran bagi rawatan lanjut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut berdepan dengan cabaran berikutan air terlalu deras dan dalam serta terpaksa berpatah balik menggunakan laluan yang lebih selamat bagi mencari kenderaan yang dihanyutkan arus itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!