Tottenham, Roma sama kuat di London

Heung-min meletakkan Tottenham mendahului di London. Foto: Agensi
Heung-min meletakkan Tottenham mendahului di London. Foto: Agensi
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur mempersia-siakan kelebihan mendahului dua kali apabila melakar keputusan seri 2-2 ketika melayan kunjungan kelab Serie A Itali, AS Roma dalam aksi Liga Europa di Stadium Tottenham Hotspur.

Bintang sensasi Korea Selatan, Son Heung-min juga kapten The Lilywhites membuka jaringan menerusi sepakan penalti pada minit kelima selepas Mats Hummels melakukan kekasaran terhadap Pape Matar Sarr.

Sungguhpun begitu AS Roma asuhan Claudio Ranieri kemudian kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi Evan N'Dicka hasil sepakan percuma Paulo Dybala.

The Lilywhites bimbingan Ange Postecoglou yang tersentak jaringan itu bingkas bangun kembali memimpin perlawanan di London tersebut menerusi gol Brennan Johnson setelah menterjemahkan sentuhan Dejan Kulusevski minit ke-33.

Namun hasrat Tottenham untuk meraih kemenangan keempat Liga Europa tidak kesampaian apabila gol masa kecederaan Hummels minit ke-91 memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dalam perlawanan itu.

Keputusan di Stadium Tottenham Hotspur itu menyaksikan The Lilywhites kini menduduki tangga kesembilan dengan 10 mata manakala Roma pula ke-17 selepas masing-masing mengharungi lima perlawanan.

Tottenham Hotspur selepas ini akan melayan kunjungan Fulham dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium Tottenham Hotspur pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!