Lelaki ditahan disyaki rogol anak tiri
TAWAU - Seorang lelaki ditahan selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 15 tahun di sebuah kampung di daerah ini pada Khamis.
Lelaki warga asing berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas laporan polis dibuat oleh ibu saudara mangsa.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara itu kepada ibu saudaranya.
Menurutnya, mangsa sebelum itu mengadu mengalami sakit perut dan ibu saudaranya bertindak menghantar remaja tersebut ke di Hospital Tawau, untuk rawatan pada pagi Selasa lalu.
"Mangsa kemudian telah menceritakan perbuatan terkutuk itu kepada ibu saudaranya setelah pihak hospital memaklumkan tahap kesihatan mangsa kepadanya.
"Berdasarkan siasatan awal, perbuatan tersebut berlaku sejak mangsa yang berusia 11 tahun sehingga yang terbaru pada bulan lalu di rumahnya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan.
"Jika disabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!