Penjawat awam Pahang terima bonus sebulan setengah gaji
KUANTAN - Kerajaan Pahang meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak satu sebulan setengah gaji kepada penjawat awam di negeri ini.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, bayaran ini akan dikreditkan pada tahun 2025 yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM33.3 juta.
"Sebagai menghargai sumbangan dan motivasi kepada mereka untuk meneruskan kerja baik dan meningkatkan pencapaian di masa hadapan, saya mengumumkan suatu BKK kepada anggota perkhidmatan awam Kerajaan Pahang.
"Kita bersetuju memberikan sebanyak satu bulan setengah gaji kepada setiap penjawat awam di bawah pentadbiran negeri," katanya.
Selain itu Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang turut bersetuju untuk menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagaimana diumumkan Kerajaan Persekutuan.
Jelasnya, SSPA akan memberikan kenaikan gaji sebanyak 15 peratus yang akan mula dibayar bermula Disember tahun ini.
"Sebanyak 8 peratus dan baki tujuh peratus bermula Januari 2026 yang melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM55.014 juta.
"Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh penjawat awam yang terus menerus memberikan dokongan dan keyakinan dalam melaksanakan amanah ini," katanya.
Beliau menambah sikap profesionalisme dan saling hormat-menghormati menjadi adunan penting dalam memastikan Pahang kekal maju dan makmur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!