Ibu bapa mohon batal kes abai Zayn Rayyan
PETALING JAYA - Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berdepan satu pertuduhan pengabaian terhadap kanak-kanak autisme itu telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Selasa minggu lalu.
Peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf berkata, pembelaan memohon AGC menyemak semula kes bagi menarik balik atau membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.
"Representasi itu dikemukakan pada 19 November lalu dan kita berharap ia ditarik balik atau dibatalkan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebelum ini, mahkamah menetapkan 6 Disember depan untuk perkembangan representasi tersebut, selepas pembelaan memberitahu akan menghantar representasi untuk menyemak kes terbabit dalam tempoh terdekat.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!