Banjir: Polis pantau laluan, kawasan dinaiki air
KLUANG – Polis akan terus melakukan pemantauan di sekitar kawasan Batu 16, Jalan Batu Pahat Mersing (Kahang) yang dilaporkan dinaiki air akibat banjir.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pemantauan akan dibuat bermula dari sekitar jam 9.30 pagi hingga selesai.
Selain itu katanya, polis juga turut menempatkan anggota bertugas di kawasan terbabit bagi tujuan mengawal laluan lalulintas di kawasan berkenaan.
“Untuk makluman, jalan utama yang menghubungkan Kluang ke Mersing di Batu 17 telah dinaiki air dan melimpah di atas jalan raya.
“Dalam keadaan seperti ini hanya kenderaan berat, seperti kenderaan pacuan empat roda (Toyota Hilux ke atas) yang boleh melepasi jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada masa sama, Bahrin berkata, pihak polis turut melakukan pemantauan di jalan raya bermula dari Batu 18 hingga ke Batu 29 Jalan Batu Pahat Mersing.
Bagaimanapun hasil pemantauan yang dibuat, didapati tiada jalan yang dinaiki air di kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!