Sistem e-Tanah dijangka operasi menjelang 2027
KUANTAN - Rakyat Pahang bakal menikmati kemudahan baharu apabila Sistem Pentadbiran Tanah [e-Tanah) dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2027.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sistem ini sedang dalam peringkat perancangan dengan proses perjanjian kontrak antara kerajaan negeri dan Persekutuan dijadualkan ditandatangani pada Mac 2025.
"Setelah kontrak dimeterai, pembangunan sistem ini akan bermula dalam tempoh enam bulan iaitu pada September 2025.
"Tempoh pembangunan dijangka mengambil masa maksimum 24 bulan dengan pelancaran rasmi atau "go-live" dirancang pada penghujung tahun 2027," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN-Toiman) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Mohd Johari dalam soalan tambahan ingin mengetahui status sistem tersebut boleh digunakan pakai oleh rakyat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, projek e-Tanah ini menelan belanja RM128 juta dan ia dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan tanpa melibatkan kos tambahan kepada kerajaan negeri.
Jelasnya, sistem ini dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada rakyat antaranya memudahkan urusan tanah dan pemilik tanah tidak lagi perlu hadir ke pejabat tanah untuk urusan seperti pembayaran cukai atau semakan status tanah.
Tambahnya, semua transaksi boleh dilakukan secara dalam talian, dan proses urusan tanah akan menjadi lebih cepat, sekaligus mengurangkan birokrasi dan masa menunggu.
"Data tanah yang komprehensif dan bersepadu akan membantu mengurangkan risiko penipuan berkaitan hak milik tanah.
"Sistem yang telus dan efisien ini dijangka menarik minat pelabur dalam dan luar negara, meningkatkan peluang pembangunan ekonomi di Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!