Farm Fresh sekali lagi diiktiraf ‘Brand of the Year’ bagi kategori tenusu
SHAH ALAM - Selepas kemenangan pada 2022, Farm Fresh Berhad sekali lagi dianugerahkan ‘Brand of the Year’ dalam kategori Produk Tenusu pada majlis World Brand Award 2024-2025 yang diadakan di Tower of London, Central London, baru-baru ini.
Farm Fresh adalah satu-satunya pemenang dalam kategori Produk Tenusu dari Malaysia yang dipilih untuk anugerah tahun ini. Pemenang anugerah ini dinilai secara unik melalui tiga aliran iaitu penilaian jenama, penyelidikan pasaran pengguna dan pengundian dalam talian awam.
Sejak diasaskan pada 2009, Farm Fresh terus berkembang dan kini telah menjadi salah satu jenama tempatan yang ikonik di Malaysia. Dari permulaan yang sederhana 15 tahun lalu, apabila mereka mengimport 60 ekor lembu Jersi Holstein dari Australia dan menubuhkan ladang di Mawai, Johor dengan misi utama untuk menawarkan produk tenusu yang berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia yang bebas daripada pengawet dan bahan tambahan tiruan.
Komitmen terhadap kesegaran dan kualiti ini menjadi identiti mereka, membezakan mereka daripada syarikat tenusu import yang bergantung kepada susu tepung sahaja. Dengan sambutan dan sokongan dari Khazanah Nasional Berhad, Farm Fresh telah terus berkembang maju dari segi kapasiti pengeluaran mereka dan mempelbagaikan rangkaian produk mereka.
Ketua Pengarah Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal, berkata. pihaknya amat terharu diatas penganugerahan World Branding Awards bagi kategori Produk Tenusu tersebut.
“Kami akan meneruskan usaha untuk mengembangkan produk kami ke persada antarabangsa. Penghargaan dan ucapan terima kasih kepada panel juri dan pasukan World Branding Awards yang telah anugerahkan kami dengan kejayaan ini. Tidak lupa juga buat keluarga Farm Fresh dan pelanggan kami yang telah memberi sokongan yang padu sejak kami memulakan perniagaan,”katanya.
Farm Fresh kini mengendalikan ladang tenusunya di Malaysia dan juga Australia, merentasi lebih daripada 5,000 ekar tanah dengan jumlah saiz ternakan lebih daripada 11, 000 lembu tenusu dan lembu jantan.
Syarikat itu juga telah memperkenalkan lebih 200 produk merentasi pelbagai jenama termasuk Farm Fresh, Master Barista, Henry Jones, Yarra Farm, Yarra by Farm Fresh dan Nubian Goat's Milk, Jom Cha by Farm Fresh, St David Dairy (Australia) dan pemerolehan terbaru mereka, Inside Scoop dan Ais Krim Sin Wah.
Kehadiran Farm Fresh yang meliputi pelbagai segmen produk, daripada produk susu segar dan susu sedia untuk diminum (RTD) kepada yogurt, susu berasaskan tumbuhan dan ais krim. Kejayaan Farm Fresh dipacu oleh pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), membolehkan mereka memperkenalkan produk yang inovatif seperti susu kurma, susu tanpa laktosa dan susu badam, serta Farm Fresh Grow untuk kanak-kanak, bagi memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.
Farm Fresh telah memperkenalkan pelbagai produk baharu, termasuk susu Farm Fresh Grow dalam format susu tepung, susu organik Australia, aiskrim (CPG), minuman malt coklat dan susu kultur, mentega dan susu dewasa yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Setelah dikenali sebagai pengeluar produk tenusu bersepadu terbesar di Malaysia, Farm Fresh bersedia untuk mengembangkan lagi kehadiran mereka di rantau Asia Pasifik. Kumpulan Farm Fresh Berhad kini mengeksport produk ke Singapura, Brunei dan Filipina dalam Asia Tenggara. Kilang mereka di Victoria, Australia juga mengeksport susu ke Timur Tengah. Syarikat itu juga baru-baru ini memulakan operasi di kilang baharunya di Filipina, menghasilkan susu segar untuk wilayah Metro Manila.
Farm Fresh sangat aktif dalam usaha kemasyarakatan mereka dan ia bermula dengan menyediakan nutrisi yang baik kepada generasi akan datang. Farm Fresh telah terlibat dalam Program Susu Sekolah sejak 2011 dan pada 2022, mereka telah mengagihkan lebih 65 juta pek susu sekolah kepada kira-kira 3,400 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, disokong oleh rangkaian peniaga rumah mereka yang luas yang terdiri daripada lebih 2,000 usahawan mikro.
Selain itu, Farm Fresh telah menubuhkan pusat komuniti sebagai sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka yang dipanggil Program Multidimensi yang bertujuan untuk mendidik anak-anak tentang pemakanan.
Ladang Farm Fresh di Malaysia adalah ladang pertama di Asia yang menerima pengiktirafan Certified Humane® Raised and Handled®, yang bermaksud bahawa produk tenusu yang datang dari ladang mereka memenuhi piawaian untuk penternakan secara berperikemanusiaan.
Selain itu, Farm Fresh telah dianugerahkan Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN pada tahun 2020 atas sumbangannya dalam membangunkan usahawan mikro di Malaysia melalui rangkaian Peniaga Kecil mereka (Home Dealer), Anugerah ACES untuk Syarikat Berprestasi Terbaik Asia pada 2021 dan diiktiraf sebagai jenama nombor satu di Malaysia dengan kemenangan anugerah Platinum di Putra Brand Awards, dalam kategori Tenusu selama tiga tahun berturut-turut.
Ini merupakan bukti pengiktirafan oleh rakyat Malaysia atas usaha Farm Fresh untuk mempromosikan produk tenusu yang berkhasiat untuk penggunanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!