Cuba rancang kerjasama bioteknologi, farmaseutikal halal dengan Malaysia
CUBA dan Malaysia perlu memperkukuh kerjasama dalam bidang bioteknologi dan farmaseutikal terutama dalam penghasilan vaksin termasuk vaksin halal yang akan memenuhi keperluan demografi tempatan.
Duta Cuba ke Malaysia, Florentino Batista Gonzalez berkata, Havana turut berharap kepimpinan Kuala Lumpur sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan dapat membantu negara Amerika Latin itu menggunakan Malaysia sebagai landasan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, terutama bagi produk dan perkhidmatan perubatannya.
Beliau berkata, bioteknologi dan farmaseutikal adalah dua sektor paling berpotensi untuk kerjasama lebih besar berikutan kesukaran yang dihadapi ketika pandemik COVID-19 untuk mendapatkan vaksin dengan segera serta kejayaan kerjasama dan pengalaman kedua-dua negara dalam menghasilkan vaksin halal bagi meningitis.
Menurutnya Cuba telah menghasilkan lima vaksin bagi COVID-19.
Gonzalez berkata Cuba boleh memanfaatkan kekuatan teknologi Malaysia dalam kedua-dua sektor berkenaan berikutan usaha Malaysia untuk menghasilkan produk farmaseutikalnya sendiri seperti vaksin, sebagai langkah yang membolehkan Kuala Lumpur tidak bergantung kepada pihak ketiga.
"Malaysia telah melabur banyak dalam tempoh 10 tahun lepas, atau mungkin lebih daripada itu untuk membina kemudahan, melatih tenaga kerja serta mewujudkan kurikulum di universiti untuk mencapai matlamat itu (menghasilkan vaksin), tetapi ia masih merupakan satu matlamat yang perlu dicapai.
"Kami telah melepasi kemuncaknya dan kami berpendapat berupaya membantu Malaysia menerusi pengurangan kitaran, dengan menawarkan produk siap yang boleh dibawa ke fasa terakhir pendaftaran dan menjadi harta intelek tempatan, dengan pemindahan teknologi," katanya.
Gonzalez berkata Malaysia mempunyai kemahiran yang kukuh dalam bioteknologi bukan sahaja melalui syarikat seperti Bioeconomy Corporation, malah di universitinya untuk menghasilkan produk perubatan serta terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Beliau berkata vaksin meningitis yang telah ada di Cuba adalah tidak halal. Vaksin halal berjaya dihasilkan melalui R&D antara Universiti Sains Malaysia dan Finlay Institute, Cuba.
"Kami juga mempunyai produk yang berhasil digunakan di Amerika Latin dan Eropah yang sedang dalam proses pendaftaran di Amerika Syarikat untuk merawat luka diabetes peringkat akhir.
"Produk ini digunakan untuk merawat ulser di kaki sekali gus dapat mengelak amputasi terhadap pesakit diabetes peringkat empat," kata Gonzalez.
Setiap negara termasuk Malaysia harus mencari penyelesaian tersendiri dalam menguruskan wabak dan pandemik dan Cuba bersedia untuk membantu dalam hal ini, kata Gonzalez. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!