MRA mulakan misi bantuan banjir, edar 6,000 pek makanan sedia dimakan
SHAH ALAM - Malaysian Relief Agency (MRA) memulakan misi kemanusiaan membantu mangsa banjir dengan mengedarkan makanan sedia dimakan (RTE) sebanyak 6,000 pek ke seluruh negara.
Presidennya, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, misi seterusnya bakal diteruskan dengan pemberian 2,500 unit pek kebersihan dan ia akan diedarkan dalam kadar segera.
Menurutnya, bantuan segera telah digerakkan bagi memastikan keperluan asas mangsa banjir dipenuhi serta usaha pemulihan pasca bencana dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.
“MRA turut merangka kerjasama erat dengan pihak berkuasa seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memastikan kelancaran misi bantuan serta pemulihan.
“Antara bantuan yang akan diedarkan kepada mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) adalah pek makanan kering, kebersihan, RTE, kit keperluan bayi, tilam dan selimut serta keperluan mendesak lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Hujan berterusan menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa negeri meningkat mendadak dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 59,232 orang telah dipindahkan ke 221 PPS setakat pagi ini, berbanding 50,947 orang di 207 PPS malam tadi.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jajahan Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 22,156 orang di 53 PPS, diikuti Tumpat (8,434 mangsa, 17 PPS); Kota Bharu (5,944 mangsa, 31 PPS); Kuala Krai (5,253 mangsa, 39 PPS); Tanah Merah (4,366 mangsa, 26 PPS) dan Bachok (2,844 mangsa, lapan PPS).
Dalam pada itu, Mohd Daud memberitahu bahawa, MRA dengan kerjasama syarikat telekomunikasi CelcomDigi akan membuka kaunter mengecaj telefon bimbit di PPS yang terpilih.
Jelas beliau, ia boleh mengurangkan keresahan mangsa banjir dan membolehkan mereka berkomunikasi dengan keluarga dan sahabat handai.
“Di samping itu, Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah menyampaikan bantuan sumbangan bernilai RM1 juta kepada MRA bagi menghadapi banjir tahun ini.
"Segala sumbangan ini memastikan mangsa banjir menerima bantuan sewaktu di PPS dan selepas mereka pulang ke rumah (pasca banjir),” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Daud mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha murni itu melalui sumbangan dan solidariti bagi meringankan beban mangsa banjir.
“Kepada sesiapa yang ingin menyumbang ke tabung bantuan banjir anjuran MRA, sila hubungi ibu pejabat di talian 603-91744672 dan sumbangan juga boleh dibuat ke akaun bank RHB, 26424500007270, atas nama Malaysian Relief Agency Foundation,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!