Lelaki Indonesia didakwa lindungi sembilan migran negara sama

Ann (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat bagi menghadapi satu pertuduhan melindungi sembilan wanita termasuk bayi perempuan dari negara sama, pada bulan lalu.
Ann (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang pada Jumaat bagi menghadapi satu pertuduhan melindungi sembilan wanita termasuk bayi perempuan dari negara sama, pada bulan lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melindungi sembilan wanita termasuk bayi perempuan dari negara sama, pada bulan lalu.

Ann Saputera, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Zulqarnain Hassan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melindungi sembilan individu berusia 54 hingga satu tahun, yang kesemuanya merupakan migran diseludup, di Taman Seri Mewah di sini pada jam 4.30 petang, 18 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anisah Pisol mencadangkan tertuduh tidak diberi ikat jamin kerana kes itu termasuk dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin selain ia merupakan kesalahan melibatkan keselamatan Negara.

Dalam prosiding ini, pemuda yang memakai baju T berwarna merah dan hitam, dibawa ke mahkamah dan tidak diwakili peguam.

Zulqarnain tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 Januari tahun depan untuk sebutan kes.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!