Pahang tarik RM16.1 bilion pelaburan komited tahun lalu

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Prestasi cemerlang Pahang terus dibuktikan dengan kejayaan menarik pelaburan komited sebanyak RM16.1 bilion pada tahun lepas.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaburan tersebut terdiri daripada RM4.4 bilion pelaburan domestik dan RM11.7 bilion pelaburan asing.

Menurutnya, statistik itu adalah petunjuk jelas keyakinan pelabur terhadap potensi serta kestabilan yang ada di Pahang.

"Selain itu, kita seharusnya berbangga apabila prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk tahun 2023, sekali lagi berjaya mengatasi KDNK di peringkat nasional, mengulangi kejayaan yang sama pada tahun 2022.

"Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi Pahang pada tahun lalu menyaksikan pertumbuhan 5.2 peratus mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional 3.6 peratus, dengan nilai KDNK mencecah RM64.9 bilion berbanding RM61.7 bilion pada tahun 2022," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapan sempena Belanjawan Pahang 2025 di sini pada Jumaat.

Jelas beliau, pertumbuhan ekonomi Pahang sebahagian besar daripadanya dipengaruhi oleh kenaikan dalam sektor pembinaan (37.1 peratus), perlombongan dan pengkuarian (9.6 peratus), perkhidmatan (6 peratus), pertanian (2.5 peratus) dan pembuatan (2.1 peratus).

Dalam pada itu, Wan Rosdy turut bersyukur ekoran kutipan hasil kerajaan negeri pada tahun ini telah melebihi RM1 bilion untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sejak tahun 2022.

Artikel Berkaitan:

"Sehingga berakhir 28 November 2024, kutipan hasil yang berjaya dicapai oleh kerajaan negeri adalah sebanyak RM1.150 bilion berbanding sasaran ditetapkan untuk tahun 2024 iaitu RM1.137 bilion atau 101.1 peratus.

"Kini, kutipan RM1 bilion bukan lagi satu angka yang kita sasarkan, tetapi ia merupakan satu penanda aras yang harus kita capai dan atasi setiap tahun," katanya.

Tambahnya, kecemerlangan Pahang terus diiktiraf apabila telah menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pahang bagi tahun berakhir 31 Disember 2023 yang telah diumumkan oleh Ketua Audit Negara.

Pahang miliki kelebihan strategik industri halal

Pahang memiliki kelebihan strategik untuk membangunkan industri halal susulan peningkatan industri itu di peringkat global yang semakin cepat berkembang.

Wan Rosdy berkata, industri halal global dijangka meningkat sehingga 2.8 trilion dolar Amerika pada tahun 2025 dengan sektor makanan dan minuman halal menjadi pasaran terbesar.

Menurutnya, ia satu kesempatan yang tidak harus dilepaskan oleh Pahang dalam industri tersebut.

"Bagi memastikan industri halal dapat berkembang dengan pesat di Pahang, kerajaan negeri telah mewujudkan Taman Industri Halal Gambang, Kuantan seluas kira-kira 68 hektar yang telah sedia untuk menerima kemasukan para pelabur.

"Di samping itu, kerajaan negeri juga telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan untuk menyenaraikan cadangan pembangunan Taman Industri Halal di Seksyen 3, Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan seluas 295 hektar, dengan Fasa 1 seluas 101 hektar sebagai projek keutamaan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)," katanya.

Ujarnya, penyertaan Pahang dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Dubai pada pertengahan November lalu telah berjaya membuka pasaran produk halal Pahang di pentas antarabangsa

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, Pahang juga amat memberi penekanan terhadap pengurusan sumber mineral yang mampan dan berinovasi.

"Oleh itu, bagi memastikan objektif ini dapat dicapai, kerajaan negeri telah menubuhkan Pahang Mining Corporation Sdn Bhd pada Ogos 2020.

"Ia untuk menyelaras dan menguruskan semua aktiviti berkaitan perlombongan agar ia dilaksanakan dengan lebih bersistematik dan berkesan serta meminimumkan ketirisan kutipan hasil negeri," katanya lagi.

Jelasnya, bagi mengukuhkan industri mineral pada tahun hadapan, kerajaan negeri melalui peruntukan RM1.6 jutayang disumbangkan oleh Pahang Mining Corporation Sdn Bhd.

"Kita akan melaksanakan Projek Pengembangan Industri Perlombongan Pahang merangkumi Projek Kajian Potensi dan Deposit Mineral Negeri Pahang, Projek Kajian Pra Kebolehlaksanaan Kaedah Baharu Pengangkutan Mineral dan Projek Pengurusan Sisa Lombong.

"Selain itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.61 juta bagi tujuan meneruskan pelaksanaan pembangunan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!