Banjir catat peningkatan mendadak, tiga lagi negeri terkesan
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Mangsa banjir di negeri yang terlibat seluruh negara terus mencatatkan peningkatan sebanyak 81,036 setakat 12 tengah hari pada Jumaat dengan Kelantan mencatatkan jumlah tertinggi berbanding direkodkan pagi tadi.
Negeri lain yang terlibat adalah Terengganu, Kedah, Selangor, Perlis, Perak dan tiga negeri yang baru sahaja dilaporkan terkesan dengan banjir iaitu Negeri Sembilan, Melaka serta Johor.
Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 61,327 orang dengan 230 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 59,232 orang di 221 PPS, pada pagi Jumaat.
Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 21,856 orang di 53 PPS diikuti Tumpat (9,881 orang, 19 PPS), Tanah Merah (4,435 orang, 26 PPS), Kuala Krai (5,445 orang, 40 PPS) dan Bachok (2,844 orang, 10 PPS).
Banjir turut melanda Pasir Puteh melibatkan 5,276 orang di 25 PPS, Kota Bharu (5,945, 31 PPS), Machang (4,493 orang, 20 PPS), Jeli (558 orang, lima PPS) dan Gua Musang (44 mangsa, satu PPS).
Di TERENGGANU, mangsa banjir setakat 12 tengah hari menunjukkan peningkatan sebanyak 15,263 orang dengan Besut masih menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa seramai 4,913 orang di 98 PPS daerah itu.
Ini diikuti daerah Hulu Terengganu (4,231 orang, 49 PPS), Setiu (3,566 orang, 42 PPS), Kemaman (1,286 orang, 17 PPS), Marang (667 orang, sembilan PPS), Dungun (669 orang, 15 PPS), Kuala Nerus (67 orang, satu PPS) dan Kuala Terengganu (13 mangsa, satu PPS).
Sementara itu, di KEDAH, mencatatkan peningkatan sebanyak 2,333 orang daripada 2,284 mangsa pada pagi Jumaat, dengan Kubang Pasu menjadi daerah paling terkesan dengan jumlah seramai 1,612 orang di 13 PPS.
Empat lagi daerah yang terjejas ialah, Sik (514 orang, tujuh PPS), Kota Setar (118 orang, lima PPS), Padang Terap (48 orang, sembilan PPS) dan Pokok Sena (44 orang, tiga PPS).
NEGERI SEMBILAN yang baru mencatatkan rekod mangsa banjir pada Jumaat pula, merekodkan sebanyak 1,349 mangsa di sembilan PPS di dua daerah terkesan.
Ia adalah Tampin dengan 1,127 mangsa di 10 PPS dan Kuala Pilah (222 orang, tiga PPS).
Dalam pada itu, banjir di PERLIS pula juga mencatatkan peningkatan sebanyak 404 mangsa berbanding 397 orang pada pagi Jumaat.
Sebanyak empat PPS dibuka dan tiga daerah yang terlibat iaitu, Padang Besar dengan jumlah mangsa tertinggi (205 orang, dua PPS), Arau (129 orang, satu PPS) dan Kangar (70 orang, satu PPS).
Di SELANGOR, terus mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 312 mangsa berbanding sebelah paginya manakala hanya satu daerah yang terlibat dan dua PPS dibuka iaitu di Klang.
PERAK juga mencatatkan peningkatan sebanyak 48 mangsa dan dua daerah yang terlibat adalah, Batang Padang (28 orang, satu PPS) dan Kerian (20 orang, satu PPS).
Bagi MELAKA dan JOHOR pula, tiada lagi mangsa yang terkesan dan sedang berada di fasa mempersiapkan segala kemungkinan dengan masing-masing membuka satu PPS.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!