Perak umum Belanjawan lebih RM1.5 bilion, terbesar dalam sejarah

Saarani menunjukkan buku Belanjawan Negeri Perak 2025 yang dibentangkan sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumat.
Saarani menunjukkan buku Belanjawan Negeri Perak 2025 yang dibentangkan sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah bagi tahun 2025 berjumlah RM1.52 bilion sempena Mesyuarat Ketiga Tahun Kedua Dewan Negeri Perak di sini pada Jumaat.

Meneruskan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera belanjawan kali ini mencatatkan peningkatan sebanyak RM170 juta berbanding tahun lalu hanya RM1.35 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan belanjawan kali ini berteraskan lima fokus utama iaitu kesejahteraan rakyat, tadbir urus projek berkepentingan negeri, pembangunan modal insan dan belia, kelestarian alam sekitar serta keterjaminan bekalan makanan meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM981.8 juta manakala perbelanjaan pembangunan berjumlah RM538 juta.

"Usaha merangka dan melaksanakan belanjawan negeri pada tahun ini akan dipandu oleh lima elemen Visi Baru Perak yang diilhamkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam buku nukilan baginda, Globalization: Perak’s Rise, Relative Decline, and Regeneration.

"Lima elemen ke arah Visi Baru Perak yang disarankan Duli Yang Maha Mulia Tuanku ialah Memastikan institusi yang cekap dan telus; Membina semula modal insan dan meningkatkan kebolehpasaran; Melabur dalam pintu masuk global; Memanfaat dan meningkatkan aset semula jadi dan sejarah Perak yang menakjubkan dan Memperluaskan kuasa dalam pengumpulan hasil dan pembuatan keputusan," katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut.

Saarani berkata, pelaksanaan Belanjawan Negeri Perak 2025 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan yang hampir mencecah RM1.438 bilion terdiri daripada hasil cukai RM672 juta, hasil bukan cukai RM514 juta, terimaan bukan hasil RM214 juta dan terimaan Pembangunan RM38 juta.

Menurutnya, trend kutipan hasil dijangka akan terus meningkat selaras dengan pertumbuhan positif sektor ekonomi yang menyumbang kepada kutipan hasil Negeri termasuk janaan royalti dari Industri Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) serta pelaksanaan projek-projek yang berpotensi besar meliputi Taman Perindustrian Hijau

Bersepadu Kerian (KIGIP) dan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peningkatan belanja bagi Maksud Mengurus tahun 2025 telah mengambilkira kenaikan gaji penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dan pelarasan pencen Ahli Dewan Negeri.

Menurutnya, perbelanjaan pembangunan pula menyaksikan pertambahan dalam jumlah yang besar iaitu RM47 juta berbanding Belanjawan tahun 2024 bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat.

Jelasnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 dijangka ditutup pada kadar defisit RM81.8 juta.

Beliau berkata, bagi fokus pertama iaitu Kesejahteraan Rakyat, kerajaan negeri menyediakan hampir separuh peruntukan keseluruhan belanjawan sebanyak RM612 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program bantuan makanan, Kad Perak Sejahtera, dan program baik pulih rumah.

"Memahami kekangan kos sara hidup yang kian menghimpit kehidupan golongan marhaen, sukacita saya mengumumkan, kadar bantuan am yang telah pun dinaikkan RM100 pada tahun 2024, akan ditambah RM100 lagi tahun hadapan menjadikan bantuan kepada 6,100 penerima akan meningkat menjadi RM500 sebulan berkuat kuasa Januari 2025.

"Satu lagi skim pinjaman baik pulih rumah tanpa faedah akan dilaksanakan tahun hadapan khusus bagi membantu keluarga berpendapatan rendah. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) melalui dana pusingan bernilai RM3 juta yang telah diamanahkan oleh kerajaan negeri," katanya.

Dari segi pembangunan infrastruktur, Saarani berkata, kerajaan negeri dijangka menerima pemberian Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) sebanyak RM612 juta untuk menyenggara jalan-jalan yang berdaftar bagi tahun 2025 dengan peningkatan RM12 juta berbanding tahun 2024.

Menurutnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab dalam pengurusan infrastruktur pengairan dan saliran akan menerima

peningkatan peruntukan RM7.2 juta pada tahun hadapan menjadikan jumlah Belanja Mengurus tahun 2025 berjumlah RM111.5 juta.

Sementara itu, peningkatan peruntukan turut diterima untuk pembangunan modal insan dan belia iaitu sebanyak RM94.8 juta selain dana RM15.95 juta bagi tujuan pendidikan meliputi pelaksanaan pelbagai program termasuk bantuan pendidikan, program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pelbagai insentif pelajar.

Saarani berkata, dalam belanjawan kali ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM69.79 juta di bawah fokus Kelestarian Alam Sekitar sebagai melaksanakan tanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan sumber semula jadi tidak terancam.

Menurutnya, keterjaminan bekalan makanan yang merupakan salah satu

halatuju pertanian Perak di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 terus diberikan peruntukan berjumlah RM65.41 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!