Sabah bakal jadi pengeluar dedak terbesar melalui tanaman jagung bijian komersial

Hendrus (tiga dari kiri) dan Yahya (tiga dari kanan) menunjukkan jagung bijian yang ditanam secara komersial pada majlis menandatangani perjanjian dengan pemilik tanah di Tandek, Kota Marudu.
Hendrus (tiga dari kiri) dan Yahya (tiga dari kanan) menunjukkan jagung bijian yang ditanam secara komersial pada majlis menandatangani perjanjian dengan pemilik tanah di Tandek, Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Sabah bakal menjadi pengeluar dedak terbesar menerusi penanaman jagung bijian yang dilakukan secara komersial di negeri ini.

Sebagai permulaan, seluas 50.5 hektar tanah terbiar di kawasan Tandek akan diusahakan untuk dijadikan ladang tanaman jagung dan dijangka akan mengeluarkan hasil kira-kira 400 tan jagung bijian atau dedak untuk makanan haiwan ternakan di negeri ini.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding berkata, tanah tersebut akan dibangunkan melalui kerjasama antara pemilik tanah dengan Koperasi Tanjung Keramat bagi mengusahakan tanah yang terbiar di negeri ini untuk dijadikan sebagai tempat tanaman komersial jagung.

Menurut Hendrus lagi, jagung bijian merupakan sumber utama kepada ternakan ayam, puyuh dan itik kerana ia mempunyai konten yang diperlukan untuk memproses dedak makanan ternakan tersebut.

"Menerusi pengeluaran jagung bijian itu sekali gus akan menstabilkan harga dedak untuk haiwan ternakan yang ketika ini semakin meningkat harganya.

"Apabila kita mempunyai pengeluaran jagung yang tinggi, harga akan semakin murah. Jadi sudah tentu harga baja ayam atau ternakan ruminan akan menurun kerana kos akan lebih murah.

"Setakat ini kalau mengikut skala yang dibangunkan, kita anggarkan boleh mengeluarkan hasil dua hingga empat tan jagung bijian untuk satu ekar tanah yang diusahakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian sewaan tanah di Dewan Tandek, di sini pada Jumaat.

Hendrus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek berkata, Sabah sebenarnya masih memerlukan lebih banyak pengeluaran dedak untuk makanan haiwan ternakan dan ketika ini banyak bergantung kepada produk import dari luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya kita masih terlalu kurang di dalam keperluan ini dan kita memerlukan jumlah yang sangat besar kerana seluruh negeri Sabah juga kekurangan komoditi jagung iaitu kira-kira 25 peratus saja setakat ini di Sabah.

"Untuk makluman juga, setiap tahun kerajaan Sabah mengeluarkan belanja import yang tinggi iaitu mencecah RM1.2 bilion untuk ternakan seperti ayam, daging, ayam telur dan sebagainya.

"Jadi kita mengharapkan supaya lebih besar lagi tanaman yang akan diusahakan dan tiada had yang ditetapkan mengenai pengeluaran jagung, supaya bukan hanya di Sabah tetapi jiran kita di Sarawak dan Semenanjung juga mempunyai pengeluaran jagung yang cukup," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap melalui kerjasama dengan pihak swasta atau koperasi akan menjadikan Sabah sebagai pengeluar jagung bijian bukan saja untuk memenuhi keperluan negeri tetapi juga negara.

Sebelum itu, hadir sama ialah Pengerusi Koperasi Tanjung Keramat, Datuk Seri Yahya Hussin dan perjanjian tersebut turut melibatkan 27 pemilik tanah dari tiga kampung iaitu Kampung Longob, Kampung Mosolog dan Kampung Salimandut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!