Setiausaha Agung baharu PN diketahui 9 Disember ini - Hamzah
SHAH ALAM - Kemelut pelantikan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) yang baharu dijangka dimuktamadkan pada 9 Disember ini.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pimpinan mengambil maklum cadangan dikemukakan rakan komponen, namun Pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak melantik individu yang dirasakan layak.
"Mengikut perlembagaan, pengerusi (Muhyiddin) boleh melantik Setiausaha Agung PN dan hari ini, apabila pengerusi umum dia mahu Datuk Seri Azmin sebagai setiausaha agung PN, maka akan di endorsed (disahkan) dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PN pada 9 Disember ini.
"Walaupun kuasanya diberikan kepada presiden, kita tidak mahu yang lain-lain bercakap tentang perkara ini, biarlah selepas diumumkan oleh pengerusi, ia diterima baik," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Sayap Bersatu, pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan supaya Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baharu.
Malah pihaknya mahu Muhyiddin memperhalusi cadangan tersebut memandangkan Hamzah diberi mandat baharu sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Sinar Harian baru-baru ini turut melaporkan, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengesahkan Mohamed Azmin akan dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu dan PN.
Dalam pada itu Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berharap apabila pelantikan itu disahkan, semua pihak akan menyokong keputusan tersebut sekali gus menamatkan spekulasi mengenai jawatan itu.
Beliau mengakui bahawa dalam sebuah gabungan yang terdiri daripada jutaan ahli dari pelbagai parti di bawah PN, menjadi perkara biasa untuk wujud aspirasi berbeza.
"Disebabkan kita mempunyai jutaan ahli merentasi Pas, Bersatu dan parti komponen lain, masing-masing mempunyai matlamat serta impian, itu tidak mengapa.
“Apa yang penting ialah di peringkat kepimpinan tertinggi, tiada isu tidak diingini timbul,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!