Pahang sasar 90 peratus isu air selesai menjelang akhir tahun 2026

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menyasarkan 90 peratus isu bekalan air dapat diatasi menjelang akhir tahun 2026.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi tujuan itu, sebanyak RM91.97 juta diperuntukkan melalui Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) untuk pelaksanaan projek-projek penting sepanjang tahun hadapan.

Menurutnya, tujuh projek utama akan dilaksanakan menerusi peruntukan tersebut merangkumi pembinaan loji rawatan air baharu, tangki imbangan dan pemasangan paip agihan air.

"Antara projek yang diberi keutamaan ialah pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Puling, Kuantan membabitkan peruntukan RM40 juta, Tangki Imbangan di Kawasan Perindustrian Gebeng (RM45 juta), LRA di Karak, Bentong (RM500,000), pembinaan tangki sedutan dan rumah pam di LRA Jelai dan pemasangan paip ke tangki Bukit Bius berjumlah RM570,000.

"Seterusnya, projek bekalan air Nenasi, Pekan sebanyak RM3.5 juta, projek bekalan air Raub (RM600,000) dan pembinaan paip agihan air dari Kemaman ke Gebeng berkapasiti 90 juta liter sehari di Kuantan dengan peruntukan RM1.8 juta,"katanya.

Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Wan Rosdy ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.

Wan Rosdy turut memaklumkan kerajaan negeri juga memperuntukkan RM235,000 kepada Badan Kawal Selia Air bagi penyelenggaraan sistem pemantauan kualiti air atas talian bagi daerah Cameron Highlands, Raub, Lipis dan Jerantut.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh penyelenggaraan jalan dan infrastruktur negeri, Wan Rosdy berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek infrastruktur jalan melalui Rolling Plan 4 Rancangan Malaysia Ke-12 berjumlah RM 645.74 juta.

Ujar beliau, peruntukan ini diluluskan menerusi dua kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya berjumlah RM179.92 juta dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berjumlah RM465.82 juta.

Selain itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang menerusi Jabatan Kerja Raya Negeri turut memperuntukkan RM94.6 juta bagi melaksanakan projek-projek merangkumi menaik taraf jalan serta baik pulih dan menaik taraf kompleks pejabat kerajaan di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!