Enam syarikat MBI Selangor lancar pelan anti rasuah OACP
SHAH ALAM - Enam syarikat milikan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) melancarkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Saipolyazan M Yusop berkata, ia membabitkan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB), SSDU Innovations Sdn Bhd (SSDU), KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Koridor Utiliti Selangor (KUSEL), Tourism Selangor Sdn Bhd (TSSB) dan Media Selangor Sdn Bhd (MSSB).
Menurutnya, setakat ini sebanyak 12 daripada 26 syarikat di bawah MBI telah melancarkan OACP sebagai langkah meningkatkan integriti dalam kalangan kakitangannya.
"Tahun lepas, Kumpulan MBI sudah melancarkan OACP bagi enam syarikat termasuk MBI sendiri, disusuli enam lagi syarikat pada tahun ini.
"Kita akan teruskan secara berperingkat sehingga semua syarikat memiliki OACP," katanya ditemui pada sambutan Hari Integriti dan Pelancaran OACP syarikat milikan MBI berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada Jumaat.
Pelancarannya disempurnakan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim.
Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, OACP merupakan garis panduan cara kerja untuk mematuhi Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Tambahnya, ia menjadi benteng dan rujukan kepada kakitangan dan organisasi bagi mengelak terlibat sebarang salah laku rasuah.
Sementara itu, Suee Lim berkata, OACP telah dimasukkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dalam sektor tumpuan: Tadbir Urus dalam usaha mengukuhkan integriti keseluruhan pihak jabatan negeri dan agensi-agensinya.
Menurutnya, RS-1 dirangka untuk memenuhi keperluan jangka pendek negeri dan membina daya tahan kukuh di masa hadapan sekali gus mengorak langkah ke arah pencapaian aspirasi Negeri Pintar, Berdaya Huni dan Makmur menjelang tahun 2025.
"Bagaimanapun pencapaian aspirasi tersebut boleh diragut sekiranya tiada penekanan terhadap amalan tadbir urus yang baik.
"Tadbir urus yang mantap akan dapat membantu pengurusan negeri secara efisien, telus dan dipercayai, " katanya.
Jelas beliau, OACP merupakan salah satu daripada kawalan dalaman bagi mencegah perbuatan rasuah dan meningkatkan integriti.
"Walaupun begitu, sejauh mana pun kita wujudkan kawalan dalaman, yang paling penting adalah integriti dalam diri
sendiri dan pembudayaan integriti di dalam sesebuah organisasi.
"Sejarah telah membuktikan walaupun kita mempunyai kawalan terbaik, sesebuah organisasi malah negara boleh lumpuh hanya
disebabkan rasuah.
"Begitulah pentingnya integriti yang perlu disemai dalam setiap individu selain daripada menguatkan sistem kawalan dalaman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!