Manfaat yang ‘menghidupkan’

Inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah SejaTi MADANI memberi sentuhan istimewa buat Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak.
Inisiatif Kampung Angkat MADANI di bawah SejaTi MADANI memberi sentuhan istimewa buat Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak.
A
A
A

SHAH ALAM - Matlamat kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat secara menyeluruh dengan melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk subsidi bersasar, memberi nafas baharu dalam kehidupan harian golongan yang menerima limpahan manfaat berkenaan.

Justeru, dalam memastikan manfaat tersebut dapat terus dinikmati rakyat, kerajaan komited memperkasakan pelbagai inisiatif menerusi Belanjawan 2025 di bawah salah satu teras utamanya iaitu ’Menaikkan Lantai’ dengan langkah komprehensif dan polisi bersasar buat golongan rentan.

Semuanya demi satu tujuan iaitu mengurangkan ketidaksamaan, meningkatkan taraf hidup yang lebih baik dan memberi jaminan perlindungan sosial.

Kampung suram berubah wajah Hasrat tersebut tentunya disambut baik oleh golongan sasar yang merasai sendiri manfaat hasil inisiatif terdahulu yang diperkenalkan, antaranya pelaksanaan Kampung Angkat MADANI di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak, Mad Saril Ahmad berkata, sosioekonomi setempat kini berubah dengan sangat ketara hasil peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk menaik taraf kemudahan tiga lagi kampung di bawah Kampung Sungai Betul.

MAD SARIL
MAD SARIL

Katanya, nikmat manfaat paling besar adalah pembangunan agro pelancongan yang membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat untuk jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

“Kawasan bersejarah Beting Beras Basah dapat dibangunkan. Dulu kawasan kami suram, tiada tarikan. Namun dengan adanya projek agro pelancongan ini, kami dapat menyediakan kemudahan dan juga aset-aset untuk aktiviti pelancongan seperti ATV, kayak dan bot.

“Penduduk kampung juga dapat berniaga dan menjual hasil tanaman kepada pengunjung, merancakkan lagi ekonomi setempat.

“Saya sendiri, selaku usahawan kraftangan yang sebelum ini bergantung dengan tempahan luar, juga kini dapat menjual produk secara terus dengan adanya permintaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan perluasan Program SejaTi MADANI dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion untuk mengetuai ikhtiar Kampung Angkat MADANI.

Mad Saril berkata, selain projek agro pelancongan, komuniti setempat juga menikmati kemudahan dewan, masjid, jalan ladang dan padang bola yang dinaik taraf menerusi peruntukan yang diperoleh.

“Tanpa program Kampung Angkat MADANI, semua (projek) tidak boleh dijalankan dengan serentak. Peruntukan juga mungkin lebih kecil. Maka, program ini memang benarbenar membawa perubahan kepada kami semua agar kami dapat menjalani kehidupan yang lebih selesa,” katanya.

Nilai RM200 besar buat kami

Belanjawan 2025 juga turut memperkenalkan peningkatan gaji minimum RM1,500 kepada RM1,700.

Ini telah menjadi khabar gembira buat operator kilang, Noor Fizah Hussein, 55, yang kini berperanan membantu suami menambah perbelanjaan keluarga.

NOOR FIZAH
NOOR FIZAH

Ibu kepada tiga orang anak ini berkata, kenaikan gaji minimum sebanyak RM200 sebulan memberi kesan besar buat mereka sekeluarga memandangkan hanya beliau yang mempunyai pendapatan tetap.

“Suami hanya kerja kampung, kadangkadang pergi laut. Saya sahaja yang ada gaji tetap...anak-anak pula masih lagi belajar.

“Justeru, apabila umum (gaji minimum) naik saya memang seronok. Gaji RM1,500 sebelum ini, apabila ditambah dengan OT (elaun kerja lebih masa; overtime pay), boleh dapat RM2,100. Tetapi jika tiada OT, hanya gaji pokok saja.

“Nilai RM200 itu mungkin kecil bagi sesetengah orang, tapi ini memberi ruang untuk kami berjimat dan membuat simpanan,” katanya.

Tambah Noor Fizah, sebagai pekerja yang menikmati gaji minimum, beliau sememangnya menantikan kenaikan yang diumumkan, dalam masa sama berharap pelaksanaan tersebut dibuat setiap tahun.

Ibu tunggal terima faedah hilang upaya kekal

Sementara itu, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2022, diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022, juga memberikan impak besar dalam kehidupan pencarum.

Perkara itu diakui oleh ibu tunggal, Gayah Sulong, 50 yang telah menerima manfaat faedah hasil caruman di bawah skim tersebut sejak dua tahun lalu.

GAYAH
GAYAH

Gayah menerima Faedah Hilang Upaya Kekal rentetan insiden dialami Februari lalu ketika sedang memotong ayam untuk persediaan memasak makan tengah hari.

Kemalangan itu menyebabkan jari tengah pada tangan kiri mengalami kecacatan kekal yang tidak dapat diluruskan sepenuhnya.

“Alhamdulillah, jika saya tidak daftar untuk skim SKSSR, saya tidak akan terima manfaat tu. Skim ini sangat bagus. Saya daftar atas kesedaran sendiri selepas mendengar (hebahan) di radio.

“Sebagai ibu tunggal yang menjaga seorang anak istimewa, pendapatan saya cukup untuk belanja makan sahaja. Bila ada caruman, jikalau ada musibah berlaku, caruman ini ada manfaatnya.

“Kepada orang lain yang belum daftar untuk mencarum, ambillah peluang. Kita tak tahu apa akan jadi akan datang,” kata Gayah yang turut mendaftarkan anak perempuannya juga suri rumah.

Angkat darjat kehidupan rakyat

SHAH ALAM - Belanjawan ekonomi rakyat mampu mengangkat darjat kehidupan rakyat agar berpeluang menjalani hidup tanpa tekanan kewangan dan memenuhi aspirasi sendiri, di samping merapatkan jurang antara golongan kaya dan golongan miskin.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pendekatan yang diambil seperti pemberian subsidi bersasar, kenaikan gaji minimum dan skim perlindungan sosial adalah langkah-langkah mengurangkan tekanan hidup yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

LEE LAM THAI
LEE LAM THAI

Katanya, manfaat setiap inisiatif buat seluruh rakyat adalah perkara yang tidak dapat disangkal.

“Namun kenaikan gaji minimum pekerja sebanyak RM200 sebulan bukanlah alasan untuk menaikkan harga jualan dan perkhidmatan, sehingga menaikkan lagi beban kehidupan masyarakat.

“Apa yang kerajaan perjuangkan ialah supaya pekerja diberi bayaran yang setimpal dengan pekerjaan mereka dan majikan sudi berkongsi lebih banyak untung perniagaan buat pekerja yang berdedikasi memastikan ekonomi terus bergerak.

“Jurang antara gaji RM1,500 untuk pekerja dan keuntungan hingga lima angka buat majikan adalah satu jurang yang cuba diperbaiki,” katanya.

Tambah beliau, tujuan belanjawan adalah untuk merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin dengan mengagihkan keuntungan hasil perniagaan dan perkhidmatan tanpa menaikkan beban kepada orang lain.

No Image Caption

“Oleh hal yang demikian, kerajaan disarankan agar memantau pelaksanaan belanjawan kali ini dan memastikan tidak berlaku kenaikan harga dan perkhidmatan yang menjadikan alasan kenaikan gaji minimum sebagai punca menaikkan harga barangan dan servis perkhidmatan.

“Hanya dengan tiada kenaikan harga barangan, kesan positif belanjawan akan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!