Faktor cuaca, kecuaian punca nahas kenderaan pengangkut bawa kereta perisai
KUALA LUMPUR - Dua faktor dikenal pasti sebagai antara punca utama kemalangan Kenderaan Pengangkut Kereta Perisai (KPKP) terbabas di Kilometer (KM) 35.3 Lebuhraya Karak, di sini pada 7 November lalu.
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, dua faktor tersebut melibatkan elemen cuaca dan kecuaian pemandu.
Beliau berkata, dapatan itu dirumuskan berdasarkan laporan lembaga siasatan yang baru dilengkapkan baru-baru ini.
Kata beliau, siasatan juga merumuskan tiada unsur sabotaj atau cubaan khianat dalam insiden tersebut.
"Siasatan baru sahaja diselesaikan oleh lembaga siasatan bagi kes kemalangan tersebut dan dapatan siasatan mendapati faktor cuaca menyebabkan jalan licin.
"Dengan momentum (kelajuan) dan berat kenderaan itu yang membawa muatan dua buah kereta perisai, ia juga menjadi sebahagian faktor berlakunya kemalangan.
"Bagaimanapun ada juga unsur-unsur kecuaian yang disebabkan oleh kelajuan yang melebihi had sepatutnya dan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini pada Jumaat.
Hadir sama Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.
Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas individu yang didapati cuai sehingga mengakibatkan kemalangan berkenaan.
Menurut beliau, setiap pergerakan konvoi Tentera Darat Malaysia (TDM) perlu mematuhi SOP yang digariskan bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Jelas beliau, ia bagi mengelakkan kejadian kemalangan membabitkan orang awam dan aset ketenteraan yang bernilai tinggi.
Ekoran kemalangan tersebut, beliau berkata, kerosakan kenderaan KPKP dianggarkan bernilai RM182,000.
Namun begitu katanya, tiada kerosakan yang berlaku ke atas dua buah kereta perisai dibawa oleh kenderaan KPKP.
"Kita baru sahaja terima laporan akhir dan penilaian terhadap tindakan seterusnya akan dilakukan.
"Pihak yang bertanggungjawab akan diberikan pengadilan sewajarnya ekoran kemalangan ini," ujarnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kenderaan KPKP daripada 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja (4 KPD Mek) bersama muatan dua Kenderaan Jenis A (KJA) ADNAN terbabit dalam kemalangan jalan raya di kilometer (KM) 35.2 dari Terowong Genting Sempah menuju ke Tol Gombak.
Kejadian jam 4.45 petang berlaku ketika kenderaan milik pasukan Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD Mek) menuruni bukit kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!