Hampir 4,000 anggota, pegawai TDM siap siaga bantu mangsa banjir

TDM sentiasa bersiap sedia bagi mengatur gerak menghulurkan bantuan dalam kejadian banjir ketika ini. Gambar hiasan Bernama
TDM sentiasa bersiap sedia bagi mengatur gerak menghulurkan bantuan dalam kejadian banjir ketika ini. Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Darat Malaysia (TDM) sentiasa bersiap sedia bagi mengatur gerak menghulurkan bantuan dalam kejadian banjir ketika ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, seramai 192 pegawai dan 3,552 anggota TDM bersiap sedia untuk digerakkan bagi misi bantuan banjir menerusi Ops Murni.

Beliau berkata, pelbagai aset mobiliti darat TDM antaranya trak dan lori serta bot tempur telah sedia digerakkan pada bila-bila masa bagi membantu agensi keselamatan yang terlibat di lokasi kejadian.

"Pada masa ini, kita (TDM) sudah mengatur gerak 31 pegawai dan 350 anggota lain-lain pangkat (LLP) bersama 17 trak satu tan, 16 trak tiga tan serta 15 bot tempur telah dihantar ke Kedah, Kelantan dan Terengganu yang kini terjejas teruk.

"Kita menjangkakan bencana banjir yang melanda negara ketika ini akan berlanjutan sehingga hujung tahun dan awal tahun depan.

"Untuk itu, anggaran awal jumlah keseluruhan anggota yang hampir 4,000 orang akan digerakkan sekiranya khidmat mereka diperlukan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Pertahanan di sini, pada Jumaat.

Hadir sama Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri.

Mengulas lanjut, Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya akan membuat penilaian dari semasa ke semasa berhubung kejadian banjir di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sekiranya keadaan bertambah buruk, TDM akan menambahkan bilangan anggota dan peralatan dimiliki bagi membantu operasi menyelamat secara bersepadu.

Menurutnya lagi, aset yang dimiliki TDM sudah sedia digerakkan dan persiapan itu dilakukan sejak Oktober lalu.

Kata beliau, Ops Murni merupakan salah satu operasi yang dilaksanakan pihak TDM pada sepanjang tahun.

“Sekiranya diperlukan untuk tentera membantu menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kita juga akan meneliti mana-mana kem yang sesuai.

"Tetapi setakat ini tiada keperluan. Malah semasa banjir besar pada 2014, tiada penglibatan mana-mana kem tentera yang dijadikan PPS," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!