[VIDEO] Warga emas redah banjir sejauh 1 km selamatkan lembu ke kaki bukit
HULU TERENGGANU - Seorang warga emas sanggup meredah banjir sejauh satu kilometer (km) demi memindahkan 10 ekor lembunya ke lokasi selamat.
Saman Kassim, 63, berkata, saban tahun dia akan memindahkan ternakannya itu untuk dibawa ke kawasan sekitar kaki bukit di Bukit Balik Hidung dekat Kampung Paya Besar, di sini.
Menurutnya, air naik mendadak di kawasan kandang lembu bersebelahan rumahnya di sini menyebabkan dia terpaksa memindahkan segera haiwan itu ke tempat lain.
"Sudah hampir 40 tahun saya memelihara lembu dan sudah lali dengan kerja-kerja memindahkan lembu setiap kali tibanya musim tengkujuh.
"Banjir kali ini, saya mula memindahkan lembu ke tempat tinggi sekitar jam 10 pagi pada Khamis lalu.
"Ketika memindahkan lembu itu air naik menghampiri satu meter di kandang lembu serta di dalam rumah," katanya ketika ditemui pemberita dekat kaki Bukit Balik Hidung, di sini pada Jumaat.
Saman atau lebih mesra digelar Pak Yunus tinggal bersama isterinya, Siti Hajar Yunus, 65.
Katanya, setiap hari dia akan berulang alik ke kaki bukit itu untuk memberi haiwan ternakannya makan.
"Biasanya pada tahun-tahun lepas di kampung ini, bencana banjir akan berlarutan antara dua hingga lima hari.
"Jadi sepanjang tempoh itu saya perlu sentiasa memantau lembu supaya tidak pergi jauh dari kawasan ini.
"Pernah juga berlaku satu tahun di mana air naik sangat mendadak sehingga menyebabkan ternakan penduduk kampung terlepas, lemas malah ada yang dijumpai tersangkut pada dahan pokok," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!