Kenyataan Sanusi tidak berasas, gugat keharmonian rakyat - MUDA

Kenyataan MUDA Pulau Pinang pada Jumaat.
Kenyataan MUDA Pulau Pinang pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - MUDA Pulau Pinang menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkaitan isu pajakan dan sejarah Pulau Pinang tidak berasas, malah berpotensi menggugat keharmonian serta memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Menerusi satu kenyataan, MUDA Pulau Pinang menegaskan Pulau Pinang sebagai Negeri Persekutuan yang berdaulat dan telah diiktiraf secara sah sebagai salah satu negeri dalam Persekutuan Malaysia melalui Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, sebarang usaha untuk mempersoalkan status ini adalah bercanggah dengan fakta sejarah dan undang-undang.

"Sebaliknya, fokus utama seharusnya diberikan kepada memperkukuh kerjasama antara negeri demi kebaikan bersama.

"Kenyataan yang bersifat provokasi ini hanya akan mencetuskan ketegangan politik yang tidak produktif.

"Sejarah tidak seharusnya dimanipulasi untuk kepentingan politik jangka pendek, sebaliknya, ia perlu dijadikan asas untuk memperkukuhkan keharmonian dan kesejahteraan rakyat," menurut kenyataan berkenaan, pada Jumaat.

Dalam pada itu, MUDA Pulau Pinang mencabar Muhammad Sanusi untuk membawa tuntutan pembayaran air Sungai Muda ke mahkamah.

Jelasnya, pendekatan ini adalah lebih profesional, telus, dan selaras dengan undang-undang, berbanding membuat kenyataan yang hanya mencetuskan provokasi tanpa asas kukuh.

Artikel Berkaitan:

"MUDA Pulau Pinang berpendirian teguh untuk mempertahankan keadilan dan hak rakyat negeri ini.

"Kami menyeru semua pihak agar mengutamakan perpaduan dan fokus kepada agenda pembangunan negara demi manfaat generasi akan datang," tambah kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!