Penganggur ditahan bersama syabu, ekstasi
KEPALA BATAS - Seorang penganggur dipercayai pengedar dadah ditahan dalam Ops Tapis di Kampung Kubang Menerong, Tasek Gelugor di sini pada jam 6 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan di tepi jalan kampung tersebut bersama 100 gram (g) syabu dan 22 biji pil ekstasi dengan anggaran berat 6.6g.
Berdasarkan siasatan menurutnya, bahan larangan terbabit adalah untuk dijual di kawasan Tasek Gelugor dan juga untuk kegunaan sendiri.
"Ujian saringan air kencing suspek mendapati dia positif syabu. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM15,700.
"Suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 19 Februari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) akta sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!