Pegawai polis, isteri dihukum penjara perdagang, cederakan amah
KLANG – “Jenayah memperdagangkan amah warga Indonesia hingga menyebabkan 102 kecederaan merupakan kesalahan serius, namun ia berlaku di rumah seorang pegawai polis, yang mana ia bercanggah 180 darjah dengan uniform zahirnya di Bukit Aman.”
Demikian kata Hakim, Zulqarnain Hassan di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, sebelum menjatuhkan hukuman penjara terhadap pegawai polis, S Vijayan Rao, 40, dan isterinya, K Rineshini Naidu, 37.
Vijayan Rao dihukum penjara 12 tahun manakala Rineshini Naidu 10 tahun kerana memperdagangkan pembantu rumahnya, Zailis (ketika kejadian berusia 46 tahun) bagi maksud eksploitasi kerja paksa dan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa, sejak Mac hingga Ogos 2022 lalu.
Rineshini Naidu selaku tertuduh pertama juga dihukum penjara empat tahun dan denda RM5,000 kerana menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa, pada 30 Ogos tahun sama.
Hakim memerintahkan wanita itu dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Sementara Vijayan Rao selaku tertuduh kedua, dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 kerana menggaji warganegara asing tanpa permit yang sah, pada Disember 2021 lepas.
Lelaki itu perlu dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Semua hukuman penjara berjalan serentak, namun mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh menangguhkan hukuman sementara rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi selesai.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan mereka melunaskan denda pada Jumaat, termasuk pampasan kepada mangsa sebanyak RM80,000 dalam masa sebulan.
Mereka dikehendaki menjalani hukuman penjara selama enam bulan jika gagal membayar pampasan terbabit.
Hakim memutuskan demikian selepas mendapati kedua-dua tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Ketika membaca keputusan itu, beliau berkata, tertuduh didapati tidak membayar gaji Zailis selama hampir tiga tahun malah ia hanya dilunaskan setelah kes ini timbul.
Menurutnya, berdasarkan gambar yang dikemukakan, jelas menunjukkan bahawa mangsa telah dicederakan.
Katanya, ia berdasarkan keterangan dan laporan perubatan oleh saksi pakar forensik dari Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng, yang mendapati ada 20 kecederaan terkini di kepala mangsa, leher (tiga), dada (lima), belakang (satu) dan enam masing-masing di tangan kanan serta kiri mangsa.
“Terdapat juga parut iaitu 42 di kepala, dua di dada, tujuh di belakang, dua di perut dan lapan di tangan kanan, maka jelas selama hampir tiga tahun berada di negara ini, ia merupakan neraka buat mangsa.
“Amah bukan patung mainan, bukan juga jualan murah sebaliknya dia mempunyai perasaan, darah yang mengalir serta jantung yang berdenyut,” katanya.
Bukan itu sahaja, hakim berkata, tertuduh pertama telah mendera kaum sendiri, bercanggah 180 darjah dengan kemuliaannya sebagai seorang ibu kepada dua anak kembar.
Katanya, tertuduh pertama dan kedua bukannya tiada pendidikan, tidak juga berada dalam golongan terpinggir atau terbawah dalam masyarakat.
Menurutnya, tertuduh pertama merupakan seorang perunding sebuah syarikat dengan pendapatan bulanan mencecah RM20,000 sebulan.
Beliau berkata, tertuduh kedua pula inspektor di bahagian elit di Bukit Aman iaitu Bahagian Operasi Khas (D8), Jabatan Siasatan Jenayah yang menyiasat kes berprofil tinggi antaranya jenayah senjata api, penculikan, peras ugut dan sindiket perjudian di seluruh negara.
“Mahkamah tidak sedikit pun ragu-ragu bahawa tertuduh mengetahui mangsa merupakan saksi utama yang boleh memberikan risiko kepada kes mereka.
“Dia cuba mengeluarkan mangsa dari wad di Hospital Selayang dengan menghantar seorang kakitangan untuk memujuk mangsa.
“Sedangkan tiada keperluan kakitangan itu melawat mangsa sehingga empat kali kerana dia tidak mempunyai hubungan keluarga, apatah lagi mangsa sudah selamat dalam jagaan pihak hospital,” katanya.
Beliau berkata, kakitangan itu turut bertemu dengan pihak hospital supaya mengeluarkan mangsa dari institusi perubatan terbabit.
Selain itu hakim ini berkata, tertuduh kedua dapat bercakap dengan mangsa menggunakan telefon bimbit kakitangannya serta berjanji akan menghantar pulang mangsa ke Indonesia.
"Bagaimanapun cubaan untuk mengeluarkan mangsa digagalkan oleh kakitangan hospital.
“Jelas, tertuduh mempunyai kepentingan yang terdesak untuk menyelamatkan diri sendiri,” katanya.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa memperdagangkan Zailis bagi maksud eksploitasi kerja paksa dan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa, di sebuah rumah di Taman Industri Bolton, Gombak, di sini antara Mac hingga 30 Ogos 2022 lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 13 (a) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima tahun hingga seumur hidup dan boleh juga dihukum sebatan.
Rineshini Naidu juga berdepan satu lagi pertuduhan, sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa sama, di rumah serupa pada jam 11 pagi, 30 Ogos 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan kedua terhadap Vijayan Rao, dia didakwa mengaji seorang warganegara asing tanpa permit yang sah iaitu Zailis, di kediaman sama pada 17 Disember 2021.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah 55b (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM50,000 atau dipenjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya, bagi setiap seorang yang diambil bekerja.
Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul 'Ain Abu Bakar manakala tertuduh pertama diwakili peguam, Kamarul Zaman Abdul Rahman dan tertuduh kedua oleh peguam, A Narainasami.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!