'Di tengah-tengah hutan, saya tengok ada ladang durian' - MB Pahang
KUANTAN - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mendedahkan aktiviti penanaman durian secara haram dikesan di kawasan Sungai Perdak, Mukim Sabai, Bentong hasil daripada tinjauan udara pada Rabu.
Beliau berkata, penemuan tersebut menimbulkan kecurigaan kerana kawasan berkenaan merupakan hutan simpan yang sepatutnya dilindungi daripada sebarang aktiviti penerokaan haram.
Justeru, beliau meminta Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob menjalankan siasatan dan memberikan laporan berhubung aktiviti terbabit.
"Di tengah-tengah hutan, saya tengok ada ladang durian dan satu perkara yang dianggap pelik. Saya minta Setiausaha Kerajaan Pahang siasat lebih lanjut dan memberikan laporan.
"Selepas itu, kita dapati aktiviti itu dilakukan secara haram dan tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini pada Jumaat.
Pada Rabu, Kerajaan Pahang mengesan aktiviti pencerobohan tanah dianggarkan seluas 400 hektar milik kerajaan itu dengan tanaman durian.
Serbuan dilakukan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang turut menyita rumah dan peralatan di kawasan berkenaan.
Difahamkan kawasan terbabit terletak di kawasan tersorok antara Hutan Simpan Kekal Lentang Tambahan dan bersempadanan dengan tanah Negeri Sembilan.
Antara tindakan itu ialah pokok durian yang ditanam di atas tanah kerajaan dimusnahkan bagi memastikan aktiviti pencerobohan tidak terus berlaku.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, setakat ini tiada tangkapan, namun aktiviti terbabit dipercayai dilakukan antara satu dan dua tahun.
"Aktiviti ini dibuat di tengah-tengah hutan, kalau tengok daripada mata biasa ini memang tidak nampak, saya kebetulan meninjau dari udara," jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan Kerajaan Pahang tidak akan berkompromi terhadap penceroboh tanah dan membawa terus kes itu di mahkamah.
"Kita bukannya dengan hanya mengenakan kompaun, tapi kenakan tindakan tegas,ini kerana hasil pencerobohan ini lumayan.
"Kalau mereka terlepas dan kerajaan negeri tidak bertindak, mereka dapat tanah percuma dan tidak perlu membayar cukai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!