Pusat jagaan kucing dinaiki air, pengusaha pecah siling cuba selamatkan lebih 400 kucing
KOTA BHARU - Pengusaha pusat jagaan kucing di Kampung Kubang Terap, Pasir Mas bimbang dengan keadaan lebih 400 kucing jalanan yang dijaga di pusat itu, selepas beliau bersama petugasnya sudah dua hari tidak dapat menjenguk keadaan kucing berkenaan disebabkan banjir.
Aelyusmida Awang, 27, berkata, sudah dua hari beliau dan petugas lain tidak dapat mengunjungi pusat jagaan itu kerana masing-masing turut menjadi mangsa banjir, dan bangunan pusat jagaan itu pula dinaiki air lebih dua meter.
"Dua hari lepas paras air dalam bangunan sudah sampai ke dada. Oleh kerana paras air semakin meningkat dan bimbang keselamatan kucing, kami telah pecahkan sebahagian siling bangunan supaya kucing dapat berlindung di bahagian itu," katanya kepada Bernama pada Jumaat.
Beliau berkata, mereka tidak dapat memindahkan semua kucing kerana ketika itu paras air naik dengan cepat dan mereka perlu segera keluar dari kawasan itu, namun mereka sempat membekalkan makanan kepada kucing berkenaan, bagaimanapun selepas dua hari makananan itu mungkin sudah habis.
"Kami merancang untuk ke sana hari ini bagi memecahkan bumbung bangunan supaya kucing dapat naik ke tempat lebih tinggi, tetapi dimaklumkan laluan masuk ke pusat jagaan dinaiki air dan hanya boleh dilalui dengan menggunakan bot," katanya.
Aelyusmida berkata, pusat jagaan kucing itu dibuka pada bulan Februari lepas menempatkan lebih 400 kucing jalanan yang ditangkap pihak berkuasa tempatan sekitar Pasir Mas, dan bagi menjaga kebajikan haiwan itu beliau bersama lima rakannya yang lain memutuskan untuk mewujudkan pusat jagaan berkenaan di atas sebidang tanah wakaf.
"Kita harap ada yang tampil membantu menyelamatkan kucing-kucing ini kerana jika banjir makin serius kemungkinan kucing itu akan dihanyutkan arus, atau mati," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!