Azimat scarab Mesir berusia 3,500 tahun ditemukan di tengah Israel

Azimat berbentuk kumbang scarab Mesir berusia 3,500 tahun ditemukan kanak-kanak perempuan Israel berusia 12 tahun semasa aktiviti mendaki bersama keluarga di bawah tapak purba Tel Qana di bandar Hod Hasharon.
Azimat berbentuk kumbang scarab Mesir berusia 3,500 tahun ditemukan kanak-kanak perempuan Israel berusia 12 tahun semasa aktiviti mendaki bersama keluarga di bawah tapak purba Tel Qana di bandar Hod Hasharon.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Seorang kanak-kanak perempuan Israel berusia 12 tahun menemukan azimat berbentuk kumbang scarab Mesir berusia 3,500 tahun, menurut Pihak Berkuasa Antikuiti Israel (IAA) dalam satu kenyataan pada Khamis.

Azimat itu yang ditemukan kanak-kanak berkenaan semasa aktiviti mendaki bersama keluarga di bawah tapak purba Tel Qana di bandar Hod Hasharon, memaparkan dua kala jengking berdiri kepala ke ekor, lapor Xinhua.

Menurut IAA, simbol kala jengking melambangkan dewi Mesir Serket, yang dianggap sebagai dewi pelindung, terutamanya dalam kehidupan selepas mati.

Azimat itu turut mengandungi simbol nefer, yang dalam bahasa Mesir bermaksud 'baik' atau 'terpilih'.

Azimat sedemikian direka bentuk menyerupai kumbang tahi, yang dianggap suci di mata orang Mesir purba sebagai simbol kehidupan baharu.

IAA menjelaskan azimat scarab yang ditemukan di Israel, kadangkala digunakan sebagai meterai, adalah bukti pemerintahan dan pengaruh budaya Mesir di rantau itu.

IAA percaya seorang figura penting dan berwibawa yang melalui kawasan itu mungkin menjatuhkan azimat tersebut atau sengaja menguburkannya. - Bernama/Xinhua

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!