Pahang teliti titah Al-Sultan Abdullah saran tubuh pasukan khas SAR
KUANTAN - Kerajaan Pahang akan meneliti titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang menyaran agar menubuhkan pasukan khas bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penubuhan pasukan khas itu akan diperhalusi secara bersama dengan agensi terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Kita membincangkan perkara ini dalam Mesyuarat Exco Kerajaan, dan tindakan selanjutnya akan diambil," katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Pada Isnin, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar satu pasukan khas bagi SAR ditubuhkan di Pahang terutama bagi membantu kes lemas atau orang hilang di Sungai Pahang.
Baginda bertitah, ia merupakan satu keperluan berikutan ramai anggota dari luar daerah dan negeri perlu diambil bertugas setiap kali berlaku kejadian lemas dan seumpamanya.
Dalam pembentangan Belanjawan Pahang 2025, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memperuntukkan RM19.89 juta bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir.
Jelasnya, peruntukan itu termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir, kawalan hakisan pantai, pemulihan muara sungai, serta penambahbaikan sistem saliran bandar di seluruh Pahang.
"Dengan langkah-langkah ini, kita berharap dapat mengurangkan kesan bencana banjir yang sering berlaku, dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat Pahang sentiasa terjamin," katanya.
Menyentuh mengenai pembangunan bandar terancang, Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang komited dalam memberi tumpuan kepada pembangunan bandar yang terancang dan dilaksanakan secara teratur ke arah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Menurutnya, selain itu, ia menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi khususnya dengan berpandukan kepada Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan Daerah dan Rancangan Kawasan Khas.
"Selaras dengan keperluan pembangunan masa kini, kerajaan negeri memperuntukkan RM245,000 bagi tujuan penyediaan 3 Rancangan Tempatan Daerah melibatkan Daerah Rompin, Lipis dan Jerantut.
"Kerajaan juga bersetuju memperuntukkan RM1.1 juta bagi mewujudkan Blueprint Bandar Pintar Negeri Pahang, Kajian Pengangkutan Awam Daerah Kuantan dan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanjung Batu – Nenasi, Pekan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!