14 tahun hasilkan skrip, Tegkang akhirnya ke layar perak

Tegkang ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 November.
Tegkang ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 November.
A
A
A

AGAK jarang penonton Malaysia disajikan dengan sebuah naskhah yang mengangkat tema budaya masyarakat di Sarawak khususnya.

Justeru, bagi mengetengahkan budaya masyarakat Kelabit dan keindahan sebuah tempat bernama Bario yang terletak di Sarawak, Josh Nawan mengambil masa 14 tahun untuk menghasilkan skrip filem Tegkang yang diambil inspirasi daripada kehidupan sendiri.

“Skrip filem ini saya mula hasilkan sejak tahun 2010 dan selepas 14 tahun, barulah ia dapat diterjemahkan kepada sebuah filem.

“Sebenarnya, Tegkang adalah inspirasi daripada kisah kehidupan saya sendiri yang membesar di rumah panjang. Kisahnya berkait rapat dengan datuk saudara saya," jelasnya.

Turut bertindak selaku pengarah filem tersebut, Josh Nawan berkata, Tegkang bukan hanya mempersembahkan sebuah jalan cerita yang bertemakan cinta, malah turut memaparkan keindahan tempat dan budaya yang jarang ditonjolkan.

Tegkang menampilkan Syafie Naswip dan Michelle Lungan sebagai pelakon utama.
Tegkang menampilkan Syafie Naswip dan Michelle Lungan sebagai pelakon utama.

“Mungkin tidak ramai pernah datang ke Bario, sedangkan ia adalah sebuah tempat yang menarik dengan keindahan semula jadi yang boleh menjadi tumpuan pelancong.

“Selain itu, komuniti di sana iaitu kaum kelabit juga sangat unik dengan budaya yang tersendiri. Jadi, Tegkang menjanjikan sebuah naskhah yang mempunyai tarikan tersendiri untuk ditonton,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Filem berkenaan menampilkan Syafie Naswip dan Michelle Lungan sebagai pelakon utama, manakala pelakon tambahan dijayakan kaum Kelabit serta 99 peratus penggambaran dilakukan di Bario.

Syafie menjadi satu-satunya pelakon yang tidak boleh berbahasa Sarawak ketika penggambaran dijalankan.
Syafie menjadi satu-satunya pelakon yang tidak boleh berbahasa Sarawak ketika penggambaran dijalankan.

Tegkang mengisahkan tentang hubungan antara seorang pelancong, Hanafi (Syafie) dengan seorang gadis tempatan iaitu Rinai (Michelle).

Namun begitu, kehadiran Hanafi ternyata telah mengubah kehidupan Rinai, yang akan mengakibatkan sebuah rahsia lama yang tersimpan akhirnya terbongkar.

Michelle Lungan antara bakat baharu yang perlu diberikan perhatian.
Michelle Lungan antara bakat baharu yang perlu diberikan perhatian.

Sementara itu, Jason Chong selaku Penerbit Eksekutif pula mengakui pihak produksi berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika menghasilkan filem Tegkang.

“Pada mula memang rasa susah sebab lokasinya yang agak jauh, perbezaan bahasa dan untuk memahami budaya setempat itu sendiri.

“Apapun sebaik sahaja selesai dan menontonnya di skrin pawagam, kami rasa bangga dengan filem ini. Termasuk dengan semua barisan pelakon yang banyak memberikan kerjasama yang baik,” ujarnya.

Diterbitkan oleh syarikat MyContent Distribution Sdn Bhd, filem Tegkang ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 28 November.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!