Harga beras putih import turun kepada RM2,800 per tan metrik
SHAH ALAM - Harga beras putih import (BPI) di pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Semenanjung diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran ringgit berbanding dolar AS.
"Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Bernas baru-baru ini.
"Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada Mac lalu, Bernas mengumumkan penurunan harga BPI di pintu gudangnya di Semenanjung daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik.
Penurunan itu menyaksikan berlaku penurunan harga jualan BPI antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10kg di peringkat runcit.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan bersama semua pemegang taruh untuk memperhalusi pelan tindakan jangka panjang mengenai struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik untuk memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang.
"Ia seterusnya dapat menjaga kebajikan pesawah serta meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara.
"Sesungguhnya keputusan ini menunjukkan kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan seterusnya memperkukuhkan agenda keterjaminan makanan negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!